Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai menunjukkan sebahagian 2,720 botol minuman keras pelbagai jenama dan bir dalam tin bernilai RM100,000 yang dibawa masuk dari negara jiran yang berjaya dirampas ketika di Ibu Pejabat Daerah Sentul, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 01 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 2720 botol minuman keras pelbagai jenama dan bir dalam tin bernilai RM100,000 yang diseludup masuk dari negara jiran berjaya dirampas.

Dalam masa yang sama, masing-masing dua warga tempatan dan rakyat  asing diberkas pada Khamis lalu kerana terlibat dalam kegiatan berkenaan.

Keempat-empat orang suspek itu diberkas di sebuah premis di Jalan Sentul Pasar tempat menjual pelbagai jenis arak.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kegiatan ini berselindung di sebalik premis perniagaan pemborong minuman keras.

“Mereka dipercayai telah beroperasi sejak setahun yang lepas,” katanya pada sidang media, hari ini di IPD Sentul.

Menurutnya, kesemua suspek ditahan reman selama tiga hari bermula Jumaat.

Kata Beh, kes  berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1965 kerana memiliki, menyimpan, mengangkut, menghantar, mengedar, menyorok serta menjual minuman keras seludup.

Sekiranya didapati bersalah, mereka boleh disenda tidak lebih 20 kali ganda jumlah cukai kastam atau RM500,000.00 mengikut mana-mana jumlah lebih besar atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.-MalaysiaGazette