KUALA LUMPUR – Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Sementa) menyifatkan pengumuman Bajet 2020 yang diumumkan oleh kerajaan
adalah tepat dalam hasratnya menyokong perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam usaha memulihkan perniagaan selepas pandemik.
Pengerusinya, Datuk William Ng berkata, kerajaan telah menerima baik cadangannya untuk subsidi upah untuk pengambilan semula pekerja. Ini penting kerana ramai PKS menghadapi kekangan aliran tunai untuk membeli bahan mentah dan mengupah semula pekerja.
Oleh itu, program JaminKerja dengan subsidi upah sehingga 30 peratus adalah penting dan dapat membantu PKS di dalam mengupah semula pekerja.
Katanya, Samenta juga menyambut baik usaha kerajaan untuk membantu PKS yang menghadapi masalah aliran tunai melalui langkah-langkah seperti ansuran untuk cukai pendapatan dan dana tambahan sebanyak RM 40 billion di bawah inisiatif SemarakNiaga.
Malah, Samenta gembira kerana tiada cukai baharu yang dikenakan ke atas perniagaan, ketika kebanyakan perniagaan baru bangkit dari kemelut ekonomi berikutan pelbagai sekatan pergerakan sepanjang setahun setengah ini.
”Walau bagaimanapun, kami tetap berharap cadangan kami supaya 30 peratus perolehan kerajaan diperuntukkan kepada pembekal PKS masih dapat dipertimbangkan oleh kerajaan untuk dilaksanakan pada tahun 2022.
” Ini tidak akan melibatkan dana tambahan kerana perolehan adalah untuk produk dan perkhidmatan yang sememangnya diperlukan oleh agensi-agensi kerajaan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette