KUALA LUMPUR – “Harga beras dan harga padi tidak dinaikan seiring harga kos,” – itu luahan Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) yang tidak berpuas hati kos bersawah naik berkali ganda hampir setiap tahun, namun jumlah subsisi yang diberikan masih sama.

Pengerusinya, Mohd Fuad Bin Yaacob berkata, pengumuman Bajet 2022 tidak membawa apa-apa perubahan kepada industri padi dan beras terutama apabila subsidi-subsidi lama yang memang wajib diberikan kepada pesawah disebut berulang kali dalam pembentangan belanjawan sejak dahulu.

“Selama ini, harga beras dikawal pada RM2.60 sekilo manakala harga minimum terjamin padi (sudah jadi harga tetap di peringkat kilang) masih RM1.20 sekilo,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah beliau, beras murah yang dinikmati rakyat Malaysia sebenarnya ditanggung 100 peratus oleh 300,000 pesawah di seluruh negara namun ia tidak berlaku kepada sayuran, ikan dan makanan lain.

Mohd Fuad berkata, Bajet 2022 yang dibentangkan Menteri Kewangan ada membantu pihak petani dan pengeluar makanan yang lain yang menghadapi kenaikan kos, tetapi tidak membantu pesawah yang mengeluarkan makanan ruji rakyat Malaysia.

“Jika kerajaan sudah tidak mahu memberikan subsidi yang merupakan balasan ganti kepada kawalan harga padi dan beras ini, apungkan sahaja harga beras,” tegas beliau yang juga mencadangkan monopoli benih dan input pertanian dihapuskan.

Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya kerajaan memperbanyakkan kilang beras, walaupun kilang kecil-kecilan di kawasan komuniti setempat yang menggunakan mesin kecil, untuk membantu pesawah.

Terdahulu, Bajet 2022 mengumumkan peruntukan perbelanjaan mengurus (OE) sejumlah RM1.5 bilion bagi subsidi benih, baja, harga dan pengeluaran padi termasuk subsidi baja padi huma sebanyak RM40 juta melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) berbanding RM1.7 bilion peruntukan dalam Bajet 2021.- MalaysiaGazette