Mustafa Kamal Abdul Rahman
Mustafa Kamal Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bakal menjadi titik penentuan penanda aras tahap sokongan semasa kepada parti pemerintah khususnya UMNO selepas PRN Sabah pada 26 September 2020.

Setelah UMNO-Barisan Nasional (BN) mengepalai Kerajaan Persekutuan melalui pertukaran Perdana Menteri pada penghujung Ogos lalu, parti ini bakal berhadapan ujian lapangan tahap sokongan rakyat terhadap mereka.

Pengarah Komunikasi Penggerak Komuniti Negara (PKN) Negeri Sembilan, Mustafa Kamal Abdul Rahman berkata, jika menilai kekuatan berdasarkan keputusan pilihan raya umum terdahulu, UMNO-BN sebenarnya telah kehilangan kekuatan dominasi secara radikal.

“Walaupun pada PRU14, UMNO memenangi 13 daripada 18 kerusi yang ditandingi, ia adalah kemerosotan mendadak.

“Bermula PRU12 (2008), PRU13 (2013) dan PRU14 (2018), kemerosotan kemenangan kepada BN di Melaka telah bermula pada 2008 apabila MCA dan Gerakan tewas beberapa kerusi kepada DAP.

“Parti-parti komponen BN iaitu MCA, MIC dan Gerakan tewas semua kerusi pada PRU14. UMNO pula masih kekal dominan pada PRU12 dan PRU13,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sejak persempadanan semula 2003, UMNO Melaka telah bertanding di 18 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Mereka unggul memenangi semua kerusi pada 2004 dan 2008 kecuali PRU13 di mana UMNO menang 17 daripada 18 kerusi kerana tewas di Bukit Baru kepada Pas dengan majoriti tipis 48 undi.

“Kali ini untuk berhadapan dengan PRN Melaka, UMNO sudah hilang taring,” katanya.

Katanya, berdasarkan keputusan PRU14, hanya tiga daripada 13 kerusi DUN yang dimenangi dengan majoriti melebihi 2,000 undi iaitu Tanjung Bidara (2,864), Serkam (2,737) dan Sungai Udang (2,229).

“Tiga kerusi bawah garis marginal 2,000 undi iaitu Sungai Rambai (1669), Ayer Limau (1479) dan Kuala Linggi (1372).

“Enam kerusi majoriti bawah 1,000 undi dalam kategori hitam iaitu Lendu (627), Taboh Naning (740), Asahan (275), Pantai Kundor (772), Rim (536) dan Merlimau (130),” katanya.

Dalam pada itu, situasi ini sangat berbeza semasa penggal ke-13 (2013-2018) apabila UMNO-BN masih unggul memenangi 23 daripada 28 kerusi DUN keseluruhan, sangat selesa melebihi angka dua pertiga DUN Melaka (19 kerusi).

“DAP pula menang lima DUN waktu itu iaitu Kesidang, Kota Laksamana, Bachang, Bandar Hilir dan Ayer Keroh.

“Ketika penggal ke-13, UMNO-BN mempunyai 16 kerusi DUN yang dimenangi dengan majoriti melebihi 2,000 undi dan enam kerusi majoriti bawah 2,000 dan satu kerusi kelabu (DUN Bukit Baru dimenangi Pas).

“Malah ketika itu juga, komponen BN menang selesa dengan majoriti melebihi 2,000 undi iaitu Bemban (MCA) dan Gadek (MIC),” katanya.

Bagaimanapun katanya, PRN Melaka kali ini sudah berbeza lapangan dan situasi kerana walaupun UMNO mengepalai Kerajaan Persekutuan, namun parti itu bukan lagi dominan sebagaimana penggal lepas.

“Kedudukan UMNO akan mampu dicabar oleh Perikatan Nasional (PN) khususnya Bersatu dan Pas yang sudah SEPAKAT melanggar BN dalam PRN Melaka nanti.

“Situasi UMNO Melaka sama dengan UMNO Sabah. Adalah sangat mustahil parti ini untuk meraih kembali kemenangan terdahulu kerana politik dominan telah terbarai pada PRU14,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan perbalahan politik dalaman UMNO Melaka juga memperlihatkan keadaan hilang muafakat akibat perebutan ghanimah politik yang ketara.

“Kali pertama juga dalam sejarah sebuah kerajaan negeri dikepalai oleh UMNO ditumbangkan wakil rakyat mereka sendiri.

“Datuk Seri Idris Haron mengukir nama dalam sejarah politik Malaysia sebagai wakil rakyat UMNO pertama menumbangkan kerajaan negeri pimpinan UMNO,” katanya.

Lebih mengejutkan apabila Pakatan Harapan (PH) menerima empat ADUN yang bertindak menjatuhkan Kerajaan Negeri Melaka sebagai ahli dan bakal menjadi calon PRN.

“Hal ini telah menaikkan berang DAP yang konsisten menolak politik lompat. Ada pertentangan dalaman yang sedang melonjak antara DAP dan PKR atas perkara ini,” katanya.

Beliau juga melihat PRN Melaka merupakan peluang terbaik buat PN untuk membuat kejutan politik sebagaimana yang berlaku dalam PRN Sabah sebelum ini.

“Ia bukan suatu yang mustahil kerana media-media utama yang dikawal UMNO dan PH masih giat melayangkan persepsi bahawa Bersatu sebagai parti yang lemah.

“Keangkuhan politik UMNO terserlah walaupun baru beberapa bulan mengepalai Kerajaan Persekutuan tetapi beberapa kes mahkamah melibatkan pimpinan utama UMNO sudah dilenturkan.

“Situasi ini berbeza ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin masih menjadi Perdana Menteri yang kekal untuk tidak mencampuri urusan mahkamah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. kah kah kah…yg bercakap kosong ni pengundi mana? Kami pengundi Melaka tak sabar nak benamkan PPBM..kita tunggu dah lihat je lah PPBM akan balik dgn telur jaa nanti. Kalau ko bukan org Melaka, jgn nak menyibuk laa

Comments are closed.