Dr. Ronald Kiandee

KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian dan Sumber Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, peruntukan Bajet 2022 untuk kementeriannya yang lebih tinggi membuktikan keprihatinan kerajaan Keluarga Malaysia dalam mentransformasikan sektor pertanian supaya menjadi sektor yang moden dan dinamik.

Katanya, inisiatif itu juga meletakkan negara dalam kedudukan lebih kompetetif sebagai pengeluar utama makanan dunia sekali gus menjadikan sektor pertanian sebagai salah satu jentera pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata, secara umumnya, kesemua inisiatif yang diumumkan oleh Kerajaan melalui Bajet 2022 merupakan satu Bajet yang telah dijajarkan kepada RMKe-12 dan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) yang  dilancarkan 25 Oktober 2021.

“Bajet ini juga merupakan kesinambungan daripada pakej bantuan dan rangsangan ekonomi sebelum ini serta dilengkapi dengan usaha baharu untuk membentuk sebuah Bajet yang inklusif, mampan dan seimbang.

“Saya yakin dan percaya bahawa Bajet ini akan dapat membantu golongan sasar serta pengeluar dan pengusaha agromakanan bagi memastikan kesejahteraan sosioekonomi dan kelangsungan perusahaan masing-masing untuk terus menyumbang kepada pertumbuhan sektor agromakanan serta KDNK negara,” katanya dalam kenyataan.

Melalui Strategi 3 kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM4.82 bilion bagi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) termasuk bagi tujuan perbelanjaan mengurus (OE) sebanyak RM3.28 bilion dan perbelanjaan pembangunan (DE) sebanyak RM1.54 bilion.

Di bawah OE, MAFI menerima RM1.7 bilion bagi pemberian subsidi dan insentif untuk industri pertanian serta perikanan untuk tahun 2022 antaranya RM1.5 bilion bagi subsidi benih, baja, harga dan pengeluaran padi termasuk subsidi baja padi huma sebanyak RM40 juta.

Menurut Ronald, insentif hasil tangkapan nelayan juga turut disediakan berjumlah RM150 juta.

“Secara amnya, kesemua subsidi dan insentif untuk tahun 2022 dikekalkan sebagaimana tahun 2021. Ini menunjukkan komitmen kerajaan bagi mengekalkan momentum pengeluaran makanan dalam negara khususnya tanaman padi yang merupakan komoditi tanaman makanan utama negara,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, peningkatan peruntukan DE sebanyak RM23 juta atau bersamaan dengan 1.5% berbanding tahun 2021 adalah selaras dengan momentum pelaksanaan projek yang memasuki tahun kedua RMKe-12 dengan jumlah yang telah diperuntukkan sebanyak RM1.54 bilion.

“Ini dapat dilihat melalui beberapa Jabatan serta Agensi di bawah MAFI yang telah menerima peningkatan peratusan peruntukan yang ketara bagi tahun 2022,” katanya.

Pada tahun 2022, inisiatif bagi terus meningkatkan jaminan bekalan makanan berjumlah RM120 juta akan dilaksanakan seperti berikut:

  • a) Pertama: Pelbagai projek Jaminan Bekalan Makanan melibatkan pelbagai negeri termasuk Pembangunan Industri Akuakultur dan Estet Kerang-Kerangan di Johor;

 

  • b) Kedua: Program Pemantapan Jaminan Bekalan Makanan Negara bagi menyediakan kemudahan logistik dan pusat penyimpanan stok bekalan makanan dan hasil pertanian segar berteknologi tinggi untuk petani dan pengusaha agromakanan;

 

  • c) Ketiga: Program Bantuan Insentif Makanan Ternakan Ruminan melalui Skim Harga Bersubsidi Dedak Isi Rong Sawit bagi membolehkan penternak kecil ruminan mendapatkan bekalan makanan ternakan dengan harga lebih murah selaras dengan konsep ekonomi kitaran; dan

 

  • d) Keempat: Program Galakan Usahawan Tekno PKS bagi meningkatkan hasil pengeluaran tanaman dan pemprosesan makanan melalui aplikasi teknologi untuk manfaat 140 usahawan tani serta program.

Menurut Ronald, inisiatif-inisiatif ini akan meningkatkan sekuriti makanan negara melalui pengurangan kebergantungan terhadap import dari luar negara khususnya makanan ternakan di samping meningkatkan nilai tambah dan kecekapan rantaian nilai agromakanan.

Selain itu, katanya, semua ahli peladang Persatuan Pertubuhan Kawasan (PPK) seluruh Malaysia akan diberi perlindungan takaful di bawah Skim Perlindungan Takaful Smart Card Peladang dengan peruntukan sebanyak RM5 juta.

Manakala, dalam usaha meningkatkan kawasan pertanian dan memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan belia termasuk graduan untuk menjana pendapatan, tanah terbiar dan tidak dibangunkan milik Kerajaan Persekutuan serta tanah Rizab Melayu dicadangkan untuk disewa bagi projek pertanian atau perniagaan.

Melalui inisiatif ini, MAFI berharap tanah-tanah tersebut dapat diuruskan secara optimum serta dapat mengatasi masalah kekurangan tanah pertanian secara efektif dan teratur.

Sebagai pelengkap, program pembiayaan sehingga RM1.25 bilion juga akan disediakan, antaranya melalui AgroFood Facility berjumlah RM500 juta di bawah Bank Negara Malaysia dan Dana Pembiayaan Agromakanan di bawah Agrobank berjumlah RM200 juta.

“MAFI akan terus memainkan peranan penting dalam melaksanakan Bajet 2022 secara efektif bagi memastikan kelangsungan sektor agromakanan di setiap peringkat rantaian makanan dan supaya rakyat terus mendapat bekalan makanan yang mencukupi serta berkhasiat.

“Kerajaan di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri pastinya akan sentiasa melaksanakan semua program dan inisiatif kesejahteraan rakyat yang diumumkan dengan berkesan,” katanya. –¬†MalaysiaGazette