Mohamad Norza Zakaria

KUALA LUMPUR – Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mencadangkan untuk menubuhkan sebuah organisasi terdiri daripada badan induk sukan itu dan agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab terhadap program sukan berprestasi tinggi, menuju Sukan Olimpik 2024 dan 2028.

Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, organisasi itu, akan bertindak sebagai pemantau kepada persiapan menghadapi Olimpik Paris 2024 dan Los Angeles 2028.

Beliau berkata, MOM berpendapat organisasi itu juga mesti menjadi wajah kepada satu perancangan jangka pendek dan panjang, yang tidak akan diganggu-gugat dengan ketidakstabilan politik atau sebarang perubahan struktur dalam kerajaan.

“Kita menganggap perkara ini sangat penting sekiranya kita ingin memenuhi aspirasi Sukan Olimpik Paris 2024 dan Los Angeles 2028. Perkara ini disahkan oleh OCM,” katanya pada sidang media Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM kali kedua sesi 2021-2025 di Wisma OCM di sini, hari ini.

Mesyuarat itu turut dihadiri wakil daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Kementerian Pendidikan (KPM).

Beliau berkata, cadangan yang dibuat pada mesyuarat itu berkait rapat dengan pembentangan Bajet 2022 baru-baru ini, dan juga pengumuman Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bahawa adanya peranan daripada sektor swasta, dalam menyumbang ke arah kemajuan sukan berprestasi tinggi.

Sementara itu, Mohamad Norza berkata, jika diteliti mengapa peruntukan kepada program sukan berprestasi tinggi tidak diperjelaskan dalam Bajet 2022, ia mungkin disebabkan kerajaan bersedia untuk menerima model terbaharu dalam memantapkan program tersebut.

Beliau berkata, sekiranya program itu mendapat tajaan daripada penglibatan pihak swasta, sudah pasti pulangan pelaburan (ROI) menjadi antara keutamaan selain tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Kita perlu melihat secara holistik sebuah organisasi di mana ia bebas daripada perubahan politik yang besar, bebas daripada birokrasi dan fokus kepada KPI (Petunjuk Prestasi Utama) dan penanda aras terhadap standard, jadi tiada campur tangan supaya kita fokus kepada Olimpik 2024 dan 2028.

“Sudah tiba masa kita mempunyai perkara ini yang meletakkan MOM, MSN, ISN dan semua pihak berkepentingan dalam satu yang bebas daripada gangguan (walaupun) apapun berlaku, masih berfokus kepada tempoh masa panjang dan pertengahan. Saya harap ia dapat dipertimbangkan secara positif untuk kebaikan industri sukan sendiri,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Norza memaklumkan MOM masih menunggu maklumat lanjut daripada Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam berhubung tarikh spesifik penganjuran temasya berkenaan yang dijadual berlangsung pada Mei 2022, sementara mesyuarat Ketua Kontinjen Sukan Komanwel 2022 akan diadakan pada 24 hingga 27 Jan tahun depan, di Birmingham.

Dalam perkembangan berasingan, Mohamad Norza berkata, mesyuarat juga bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk berhubung dengan KPM, bagi memasukkan sukan-sukan seni mempertahankan diri dalam senarai sukan yang dipertandingkan di peringkat Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).

Katanya, sukan-sukan itu banyak memberi sumbangan pingat di temasya sukan antarabangsa sekali gus berharap KPM dapat menambahnya dalam senarai sukan yang berada dalam kalendar aktiviti MSSM. – Bernama