IPOH – Dua wanita antara tiga yang maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan yang bertembung di Kilometer 64, Lebuhraya Timur Barat berhampiran hentian Rehat dan Rawat (R&R) Titiwangsa di Gerik, hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Perak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gerik dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 3.49 petang.
Katanya, kemalangan melibatkan kereta jenis Perodua Axia dan Perodua Myvi dengan lima orang mangsa di dalamnya.
“Mangsa yang maut ialah seorang lelaki berusia 29 tahun dan wanita berusia 24 tahun yang menaiki Perodua Myvi, serta seorang wanita belum dikenal pasti umurnya yang menaiki kereta Perodua Axia.
“Sementara mangsa yang cedera seorang wanita berumur 30 tahun serta anak lelakinya berusia setahun, yang menaiki Perodua Axia,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Jurucakap itu berkata, pasukan bomba terpaksa menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang cedera sebelum dibawa ke Hospital Gerik bagi menerima rawatan.
Katanya, mangsa yang meninggal dunia pula diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 6.35 petang. – Bernama