KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah telah memberi perkenan supaya Proklamasi Darurat bagi Negeri Sarawak ditamatkan.
Istana Negara dalam kenyataan di sini berkata, perkenan baginda terhadap penamatan Proklamasi Darurat itu selaras dengan Perkara 40 dan 40 (1A) Perlembagaan Persekutuan.
Menurut kenyataan oleh Datuk Paduka Maharaja Lela, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini, berdasarkan Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021, Proklamasi Darurat boleh ditamatkan lebih awal oleh Yang di-Pertuan Agong secara berunding dengan Yang di-Pertuan Negeri Sarawak.
Yang di-Pertuan Agong telah terima mengadap Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud semalam yang menyampaikan hasrat dan permohonan agar Proklamasi Darurat di Sarawak ditamatkan.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan kegusaran baginda terhadap risiko peningkatan penularan jangkitan Covid-19 sekiranya Pilihan Raya Negeri Sarawak diadakan.
“Pada hemat Seri Paduka Baginda, negara masih lagi bergelut menghadapi ancaman Covid-19 dan penularan wabak ini juga masih ditahap membimbangkan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, baginda berkenan menerima mengadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini untuk mesyuarat pra-Kabinet di Istana Negara.
Baginda juga telah menerima mengadap Peguam Negara, Tan Sri Idrus Azizan Harun bagi taklimat perkara sama yang turut dihadiri oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah; Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Abdul Ghani Salleh dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad.
Perkenan baginda kepada penamatan Proklamasi Darurat adalah satu keputusan sukar dan rumit.
Namun, ianya diperkenankan bagi memenuhi keperluan demokrasi dan mengembalikan kuasa rakyat untuk membuat pilihan serta memberi mandat dalam pembentukan kerajaan negeri yang baharu.
“Sesungguhnya, Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan rakyat jelata perlu diberi keutamaan dan sentiasa mengatasi sebarang kepentingan peribadi dan politik,” tambahnya.
Kenyataan itu menyebut, baginda berkenan menerima mengadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini untuk mesyuarat pra-Kabinet di Istana Negara.
Bainda juga telah menerima mengadap Peguam Negara, Tan Sri Idrus Azizan Harun bagi taklimat perkara sama yang turut dihadiri oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah; Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Abdul Ghani Salleh dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad. – MalaysiaGazette