KUALA LUMPUR – Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa tampil membantu mencari jalan penyelesaian yang berkekalan berhubung isu pelarian Rohingya.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, kerajaan tidak lagi mampu menampung lebih ramai pelarian etnik yang menjadikan Malaysia sebagai destinasi mereka.
”Kita merupakan negara anggota ASEAN yang paling terkesan dengan isu pelarian etnik Rohingya ini, namun kita akan terus berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik dalam menanganinya, termasuk melalui mekanisme ASEAN.
”Dalam mesyuarat ASEAN, Malaysia sering kali menggariskan kepentingan ASEAN menggesa Myanmar menangani krisis kemanusiaan di Wilayah Rakhine.
“Kita turut berulang kali menegaskan, negara kita tidak mampu menampung lebih ramai lagi pelarian Rohingya dan menyeru masyarakat antarabangsa tampil membantu mencari jalan penyelesaian yang berkekalan,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) yang bertanyakan usaha tuntas telah dilaksanakan oleh Kementerian Luar Negeri bersama negara ASEAN bagi menyelesaikan isu Rohingya dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan di Parlimen hari ini.
Menurut Kamaruddin, perkara itu turut dibangkitkan Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri ketika mesyuarat ASEAN berkaitan termasuk dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan 39 pada 26 hingga 28 Oktober lalu.
Di samping itu, katanya, Malaysia tegas menggesa Myanmar melaksanakan cadangan dikemukakan ASEAN-Emergency Response and Assessment Team (ASEAN-ERAT) dan melaksanakan Penilaian Keperluan Komprehensif.
“Ini untuk memastikan proses repatriasi pelarian Rohingya dari Bangladesh ke Myanmar dilaksanakan secara sukarela, selamat dan bermaruah serta mengurangkan jumlah pelarian yang membuat perjalanan lanjutan ke Malaysia.
“Isu penempatan pelarian Rohingya ke negara ketiga sering diketengahkan oleh kerajaan dalam perbincangan dengan negara asing dan di platform antarabangsa.
“Bahkan, Malaysia sentiasa menggesa Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarían (UNHCR) memberi kerjasama dalam mempercepatkan proses penempatan semula pemegang kad UNHCR ke negara ketiga,” katanya.
Beliau berkata, kementerian juga konsisten mengadakan libat urus bersama UNHCR untuk mencari jalan bagi meningkatkan kadar penempatan semula pelarian Rohingya di negara ketiga.
Dalam isu itu, katanya, Kementerian Luar Negeri sentiasa menyeru negara pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 dan Protokol Status Pelarian 1967 untuk berkongsi beban dan tanggungjawab terutama dalam menerima lebih ramai pelarian bagi tujuan penempatan semula, menerusi platform perbincangan dua hala dan pelbagai hala di peringkat antarabangsa.
“Dalam perbincangan dua hala antara Malaysia dan negara yang berkemampuan untuk menerima pelarian Rohingya dari Malaysia, kita sering menekankan isu ini dan berharap lebih ramai dapat diterima masuk ke negara berkaitan,” katanya. – MalaysiaGazette