Kamaruddin Jaffar

KUALA LUMPUR – Malaysia sentiasa menyokong usaha antarabangsa bagi memastikan kebertanggungjawaban ke atas pelanggaran hak asasi manusia dan jenayah kemanusiaan yang berlaku ke atas etnik Rohingya.

Sebagai contoh, Malaysia menyokong resolusi Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (MHAM PBB) yang menubuhkan satu mekanisme dinamakan Independent Investigative Mechanism for Myanmar (IIMM) bagi mengumpul bukti pelanggaran hak asasi manusia di Myanmar.

Menurut Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamaruddin Jaffar, dalam hal itu, Malaysia akan terus memastikan penyelesaian isu Rohingya meliputi pengiktirafan mereka sebagai warganegara Myanmar.

“Mengenai isu kewarganegaraan, kerajaan Myanmar pada 1982 telah meluluskan Undang-Undang Kewarganegaraan 1982 yang mengecualikan etnik Rohingya daripada senarai etnik bertaraf warganegara Myanmar.

“Kita juga konsisten mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan yang terlibat dengan kes dakwaan genosid ke atas etnik Rohingya yang sedang dibicarakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICC).

“Tambahan pula, ICC turut menjalankan penyiasatan jenayah kemanusiaan yang berlaku ke atas etnik Rohingya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman (Pas) berhubung komitmen Malaysia mendesak Myanmar mengembalikan hak asasi manusia dan kewarganegaraan kepada etnik Rohingya yang tertindas.

Menurut Kamaruddin, wajar bagi Malaysia bekerjasama dengan mekanisme tersebut agar keadilan dapat dilunaskan kepada etnik Rohingya dan hak mereka dikembalikan secara saksama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast