Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) memberi jaminan kedudukan Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak akan tergugat sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Presidennya, Mohamad Sabu berkata, ini kerana pembangkang dari Pakatan Harapan (PH) telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) untuk tidak mengganggu kepimpinannya sepanjang tempoh berkenaan.

Bagaimanapun, beliau mahu Ismail Sabri bertindak lebih tegas dan berani sebagai seorang Perdana Menteri yang mempunyai kuasa penuh dalam dasar pentadbiran negara.

“Perdana Menteri hari ini adalah yang dilantik dan ada pula MoU dengan PH. Maknanya, Perdana Menteri ini tidak mungkin akan jatuh sehingga PRU akan datang.

“Tetapi, Perdana Menteri hendaklah berani kemukakan satu-satu perkara kerana dia tidak akan diusik (tak akan jatuh).

“Jangan lembik. Kena berani sikit. Jangan kita nampak Perdana Menteri kita ini macam dikawal oleh orang-orang tertentu,” katanya dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Parlimen hari ini.

Mohamad yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu berkata, soal Melaka yang telah diumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN),

Katanya, sehingga sekarang Ismail Sabri tidak membuat sebarang kenyataan, sama ada jadi atau tidak PRN.

“Kalau nak buat (PRN), SOPnya macam mana? Sekarang ini hanya menteri yang bercakap pasal SOP. Bila kita jumpa menteri ini, dia kata boleh ceramah. Jadi, rakan kita dari PKR di Sabah adakan ceramah, tiba-tiba kena denda RM10,000.

“Perdana Menteri mesti tunjuk kuasanya, bukan kuasa nak tunjuk diktator tapi nak tunjuk kuasa untuk mengendalikan klerajaan ini,” katanya.

Bagaimanapun, ujar beliau, apa yang mengecewakan PH ialah Perdana Menteri nampak seperti tidak berani melakukan sesuatu untuk menyelamatkan Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast