KUALA LUMPUR – PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad (PMVSB) memeterai perjanjian pengurusan bersama Oakwood Premier Kuala Lumpur untuk menjadi sebahagian daripada presint ikonik Menara Merdeka 118.
Oakwood Premier Kuala Lumpur bakal menghuni salah satu menara kediaman di dalam pembangunan Merdeka 118, yang akan menampilkan 348 kediaman berservis dengan pilihan satu, dua atau tiga bilik tidur.
Dengan ruang kediaman luas sehingga 120 meter persegi, Oakwood Premier Kuala Lumpur akan dapat memberikan keselesaan dan keselamatan bagi tetamu bisnes dan juga percutian.
Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, Oakwood Premier adalah peneraju bagi perkhidmatan kediaman premium.
”Dengan kepakaran istimewa mereka dalam memastikan keselesaan dan kesenangan tetamu, kami yakin bahawa jenama Oakwood Premier dapat meningkatkan lagi daya tarikan pembangunan Merdeka 118.
“Oakwood Premier Kuala Lumpur melengkapi komponen Merdeka 118 bagi mewujudkan sebuah destinasi pilihan untuk bekerja, tinggal dan bersosial dalam ruang yang dirancang teliti dan diaktifkan sepenuhnya khusus untuk tetamu yang melawat dan komuniti residen kami,” katanya.
Dijadualkan untuk dibuka pada Disember 2024, Oakwood Premier Kuala Lumpur akan menjadi kediaman berservis Oakwood kedua di bandar raya ini selepas Oakwood Hotel & Residence Kuala Lumpur.
Menara 118 tingkat ini akan menjadi menara kedua tertinggi di dunia dan tertinggi di Asia Tenggara pada ketinggian sekurang-kurangnya 644 meter apabila siap dibina.- MalaysiaGazette