KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia tidak akan melayani tuntutan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu peruntukan dalam Belanjawan 2022 berjumlah RM332.1 bilion disemak semula termasuk mengurangkan dana yang disediakan.
Ia merupakan peruntukan dana terbesar dalam sejarah negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana belanjawan terbesar itu dilakukan dengan mengambilkira keadaan kewangan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.
“Ketika ini kebajikan rakyat itu amat penting, rakyat susah selama dua tahun ini akibat pandemik Covid-19, dari segi kemampuan untuk hidup, ada yang telah kehabisan simpanan.
“Sebab itu kita bagi wang tunai kepada dia (rakyat) untuk membantu mereka meneruskan kehidupan. Memang benar kita berbelanja besar, sebab kita nak jaga kebajikan rakyat.
“Kepentingan rakyat itu menjadi keutamaan kita, melegakan rakyat sewaktu kesusahan ini satu keutamaan kita,” katanya pada sidang media di Bukit Jalil hari ini.
Terdahulu Perdana Menteri bersama Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein merasmikan Majlis Pelancaran Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (Tentera Darat).
Beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir semalam yang menggesa kerajaan menyemak semula Belanjawan 2022 yang memperuntukkan sejumlah RM332.1 bilion.
Mahathir berkata, kerajaan tidak perlu berbangga dengan mengemukakan belanjawan yang terbesar dalam sejarah negara memandangkan ia melibatkan jumlah hutang yang besar.
Katanya, jika belanjawan itu disemak, banyak lagi peruntukan itu boleh dikurangkan sekali gus meringankan beban hutang negara pada masa depan.
Dalam pada itu, Ismail Sabri memberi jaminan Kementerian Kewangan akan menguruskan akaun negara dengan baik termasuk hutang negara susulan belanjawan negara akan membabitkan hutang yang besar pada masa akan datang.
“Walaubagaimanapun Menteri Kewangan akan uruskan akaun kita dengan baik. Kita akan seimbangkan, kalau kita kira dari segi perbelanjaan terbesar dalam kewangan yang ada pada hari ini, maka kita tidak akan berbelanja untuk rakyat.
“Kementerian Kewangan akan uruskan dengan baik, jangan risau,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN