KUALA LUMPUR – Bajet 2022 yang bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera memperuntukkan sejumlah RM331.1 bilion atau 20.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ia merupakan peningkatan sebanyak RM8.6 bilion berbanding Bajet 2021 iaitu RM 322.5 bilion.

Daripada jumlah ini, sebanyak RM233.5 bilion diperuntukan untuk perbelanjaan operasi, sejumlah RM75.6 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Baki sebanyak RM23 bilion untuk Kumpulan Wang Covid-19.

Dari segi peruntukan sektoral, sebanyak RM133.2 bilion (40.1%) daripada jumlah keseluruhan Bajet 2022 diperuntukan untuk program dan projek di bawah sektor sosial, diikuti oleh sektor ekonomi (20.3%), keselamatan (10.3%) dan pentadbiran am (4.8%).

Baki berjumlah RM81.3 bilion (24.5%) akan diperuntukkan untuk perbelanjaan tanggungan dan bayaran pindahan.

Menurut Laporan Tinjauan Fiskal 2022, peruntukan perbelanjaan operasi pada tahun 2022 dianggarkan berjumlah RM233.5 bilion atau 14.3% kepada KDNK.

Jumlah ini adalah 6.3% lebih tinggi berbanding peruntukan 2021 yang disemak semula iaitu RM219.6 bilion.

Emolumen, bayaran khidmat hutang dan bayaran persaaraan kekal sebagai penerima tertinggi merangkumi 67.5% daripada jumlah perbelanjaan operasi atau 9.6 peratus kepada KDNK.

Laporan itu mengatakan emolumen penjawat awam penerima terbesar perbelanjaan operasi pada tahun depan.

Komponen ini mewakili sekitar satu pertiga daripada jumlah perbelanjaan operasi dan dianggar meningkat kepada RM86.5 bilion.

Kenaikan ini sebahagiannya menampung kenaikan gaji tahunan.

Bayaran persaraan pula dianggarkan meningkat kepada RM28.1 bilion (12% daripada jumlah perbelanjaan operasi) berikutan kenaikan pencen tahunan serta peningkatan jumlah pesara dan penerima manfaat yang dianggarkan berjumlah hampir 628,300.

Sebanyak RM43.1 bilion lagi diperuntukkan untuk bayaran khidmat hutang pada tahun 2022, yang mana daripada jumlah itu, 98.2% bagi pembayaran kupon atas hutang dalam negara sementara bakinya untuk pinjaman luar pesisir.

Nisbah bayaran khidmat hutang kepada perbelanjaan operasi dianggar lebih tinggi pada 18.5% sejajar dengan penggunaan instrumen hutang bagi membiayai dasar fiskal mengembang.

Peruntukan bagi bekalan dan perkhidmatan yang mewakili 13% daripada perbelanjaan operasi meningkat sebanyak 30.5% kepada RM30.4 bilion disebabkan peningkatan perbelanjaan lebih tinggi bekalan perubatan serta perkhidmatan profesional.

Kementerian Kesihataan akan menerima peruntukan tertinggi 33.1%, Kementerian Dalam Negeri 12.5% dan Kementerian Pendidikan 11.2%. – MalaysiaGazette