Undi18 Sarawak state election polls Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Undi18 voters Election Commission anti-party hopping
Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) melalui Akademi Pilihan Raya (APR) telah melaksanakan Program Pendidikan Pengundi (Voter Education – VE) bagi mendekati warganegara khususnya warga belia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, program yang bertujuan memberi kefahaman terhadap proses pilihan raya di samping menjawab isu yang sering dibangkitkan semasa pillihan raya itu masih berjalan sehingga kini.

Beliau berkata, dengan kesedaran dan kefahaman mengenai proses demokrasi dan pilihan raya, diharapkan mereka akan menunaikan tanggungjawab untuk keluar mengundi pada pilihan raya.

Namun, katanya, sejak pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, APR telah memperkenalkan Program Pendidikan Pengundi Secara Maya (Virtual Voter Education – VVE).

“Ini sebagai alternatif dalam melaksanakan VE yang diadakan secara bersemuka sebelum pandemik Covid-19 berlaku,” katanya menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (Kuala Krai) berhubung langkah diambil SPR untuk memastikan pengundi 18 akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ini.

Menurut Wan Junaidi, sehingga 30 September lalu, APR telah melaksanakan VE bersama beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) secara bersemuka dengan mematuhi ketetapan SOP.

Kata beliau, program itu sehingga kini melibatkan penyertaan 2,740 pelajar, manakala VVE pula sebanyak 152 program diadakan dengan 50,858 jumlah tontonan.

Selain itu, jelasnya, APR mengambil inisiatif perkongsian secara maya dalam media sosial melalui platfrom Facebook, Youtube, Instagram, Twitter dan Tiktok yang pada ketika ini merupakan trend belia dan anak muda.

“Inisiatif ini diambil bagi menggalakkan pengundi 18 tahun keluar mengundi pada pilihan raya umum nanti,” katanya. – MalaysiaGazette