Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. capital punishment mandatory death sentence abolish
Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 550 teguran telah dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) bagi tahun 2019 Siri 2, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, dari jumlah itu, sebanyak 525 teguran telah dikategorikan sebagai isu korektif dan akan disusul melalui Auditor General’s Dashboard (AGD), manakala sebanyak 25 isu atau 4.5 peratus dikategorikan sebagai berpotensi isu punitif.

Katanya, 25 potensi isu punitif itu telah dibincangkan dalam mesyuarat bersama agensi penguat kuasa dan agensi pusat pada 23 hingga 24 September dan 20 Oktober lalu.

“Berdasarkan mesyuarat itu, sebanyak tujuh isu telah diputuskan untuk siasatan oleh agensi penguatkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),” katanya di Parlimen hari ini.

Selain itu, menurut Wan Junaidi, mesyuarat tersebut juga memutuskan untuk mendapatkan penjelasan lanjut daripada pihak auditi melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Laporan Ketua Audit Negara (JTLKAN) Bil. 3 Tahun 2021 yang akan diadakan pada 9 hingga 11 November ini.

JTLKAN dipengerusikan Ketua Audit Negara dan dianggotai Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Timbalan Ketua Setiausaha (Kabinet) Bahagian Kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Antara Kerajaan, Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi dan Pegawai Tugas-Tugas Khas (Integriti dan Keselamatan) Pejabat Ketua Setiausaha Negara.

Beliau berharap dengan tindakan punitif dan korektif serta tindakan oleh kementerian dan jabatan, akan dapat mengurangkan ketirisan serta pembaziran wang awam.

“Ketua Audit Negara diberi mandat untuk menyemak perbelanjaan negara melalui pengauditan yang dijalankan.

“Pengauditan program dan aktiviti kementerian serta jabatan kerajaan dilakukan bagi menentukan ianya dilaksanakan dengan cekap, berhemat dan berkesan bagi mencapai objektif ditetapkan.

“Pengauditan pematuhan pula bagi mengenal pasti elemen pembaziran, pemborosan, penyelewengan dan ketirisan wang awam akibat daripada ketidakpatuhan kepada undang-undang dan peraturan kewangan,” katanya.

Kata beliau, LKAN yang telah dibentangkan di Parlimen akan dibincangkan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan akan memangggil pihak terlibat untuk mengemukakan pandangan dan cadangan bagi membantu memperkemaskan pengurusan kewangan auditi agar dilaksanakan secara telus dan berhemat. – MalaysiaGazette