Mohd Ajib Ismail

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membuat beberapa ketetapan bagi aktiviti pengimarahan di masjid dan surau Wilayah Persekutuan dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pengarahnya, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, ini selaras dengan titah perkenan Yang di-Pertuan Agong berhubung ketetapan itu yang melibatkan masjid dan surau di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan berkuatkuasa hari ini.

Katanya, ketetapan itu pertamanya, penjarakan fizikal antara jemaah dikurangkan daripada 1.5 meter kepada 1 meter, manakala warganegara asing yang mendapat vaksin lengkap juga dibenarkan.

“Kanak-kanak berumur 12 tahun ke atas yang telah mendapat vaksin lengkap juga dibenarkan menunaikan solat berjemaah di masjid dan surau.

“Selain itu, murid tadika dan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dibenarkan menghadiri kelas pengajian yang beroperasi dalam premis masjid dan surau berpandukan garis panduan pengurusan dan pengoperasian sekolah.

“Ketetapan ini juga membenarkan majlis sosial seperti kenduri, sambutan perayaan, majlis perkahwinan dan aqiqah diadakan di dewan masjid serta surau bagi lndividu lengkap vaksin dengan 50 peratus kapasiti ruang serta penjarakan fizikal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelas Mohd Ajib, semua kebenaran itu tertakluk kepada SOP yang telah ditetapkan selaras dengan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berharap, lebih ramai jemaah dapat mengimarahkan masjid dan surau di Wilayah Persekutuan. – MalaysiaGazette