Aireroshairi Roslan

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Pahang menyambut baik ketegasan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam memperketatkan penjualan minuman keras berkuatkuasa Isnin lalu.

Mereka sangat mengharapkan langkah itu menjadi contoh dan tanda aras baru kepada badan berautoriti lain terutama kerajaan Pahang dalam usaha ke arah bebas arak di semua peringkat.

Ketua Pemudanya, Aireroshairi Roslan berkata, tindakan itu selari dengan penegasan Pas dalam kenyataan media pada 26 Mei 2020 yang mencadangkan lesen pengeluaran dan penjualan arak yang baru dihentikan serta merta.

Menurut beliau, ia sebagai langkah berperingkat ke arah menjadikan Malaysia sebagai negara bebas arak untuk jangka masa akan datang.

“Cadangan ini kami tegaskan susulan kematian Allahyarham Irwan Herman yang telah terkoran akibat dilanggar sebuah kereta dipandu secara melawan arus di Jalan Pintasan Kuantan.

“Kenderaan itu seorang individu mabuk ketika dalam perjalanan ke tempat kerja. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

DBKL bermula 1 November lalu menguatkuasakan Garis Panduan Ke Atas Larangan Penjualan Minuman Keras dengan melarang penjualan arak di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat Cina.

Bagaimanapun, penjualan bir oleh premis terbabit masih dibenarkan bermula jam 7 pagi hingga 9 malam sahaja sebagaimana terkandung dalam syarat baharu untuk permohonan Lesen Minuman Keras (LMK).

Namun premis terbabit perlu menyediakan ruang jualan atau pameran khas bagi bir yang berasingan daripada minuman lain, mengunci ruang jualan atau pameran selepas tamat waktu operasi penjualan bir, manakala had umur pembeli mesti 21 tahun ke atas.

Menurut Aireroshairi, gejala ketagihan arak sehingga memudaratkan diri dan orang lain akan terus merosakkan komuniti masyarakat negara ini jika tidak segera diambil tindakan drastik bagi menanganinya.

Gejala itu, katanya, bukan sahaja menyebabkan kemalangan akibat pemandu mabuk, malah menimbulkan pelbagai penyakit sosial lain seperti membunuh, membunuh diri, keruntuhan institusi keluarga, penderaan dan sebagainya.

Mengikut kajian Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UN Report 201), arak telah membunuh lebih 3 juta manusia setahun di seluruh dunia melebihi kadar kematian disebabkan penyakit AIDS dan Tibi.

Data itu juga merangkumi kematian disebabkan oleh pemabuk seperti kemalangan, penderaan, wabak penyakit dan lain-lain.

“Perkara ini cukup menggambarkan kepada kita betapa kritikalnya isu arak yang mampu menghancurkan tamadun manusia moden hari ini jika tidak ditangani sebaiknya.

“Kami juga sangat prihatin nasib keluarga yang terpalit dengan gejala ketagihan arak dan juga mangsa yang disebabkan oleh individu terlibat dengan arak yang membawa kepada kematian dan kecacatan.

“Perkara ini boleh menjerumuskan kepada kesan jangka masa panjang termasuk kehancuran institusi keluarga, kehilangan kasih sayang, hilang mata pencarian, anak-anak terabai dan hilang tempat pergantungan untuk selama-lamanya,” kata beliau

Oleh itu, katanya, Dewan Pemuda Pas Pahang mencadangkan umat Islam kembali kepada syariat yang jelas mengharamkan arak sebagai minuman kerana langsung tidak mendatangkan kebaikan dan faedah kepada manusia.

“Besar harapan kami untuk melihat negara ini yang majoritinya beragama Islam tampil dengan imej sebuah negara bebas arak sepenuhya.

“Marilah kita bersatu untuk selamatkan masyarakat dan negara ini daripada kebatilan dengan bersama kembali kepada fitrah syariat agama Islam,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast