Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya
Datuk Shabudin Yahaya

BUTTERWORTH – Bayaran balik pinjaman oleh peminjam atau Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) kini kembali seperti biasa selepas tempoh moratorium yang diberikan sebelum ini tamat pada Ogos lepas.

Pengerusi AIM Datuk Shabudin Yahaya bagaimanapun berkata terdapat sebilangan kecil peminjam yang memohon untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman atas faktor tertentu.

“Keseluruhannya, proses bayar balik (pinjaman AIM) sudah kembali kepada rutin asal. Tetapi, ada sesetengah kes yang memerlukan perhatian khusus dari segi pembayaran balik kerana ada dalam kalangan peminjam mengalami kesulitan disebabkan pandemik (COVID-19) dan sebagainya.

“Boleh dikatakan sebanyak satu peratus sahaja,” katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian sumbangan kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta 2020-2021 Parlimen Tasek Gelugor, di sini hari ini.

Menurut Shabudin peminjam yang mengalami kesulitan dalam membuat bayaran balik akan dirujuk kepada pihak pengurusan AIM sama ada di peringkat cawangan mahupun negeri untuk rundingan, penilaian dan tindakan lanjut.

AIM memberikan moratorium selama tiga bulan bermula sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 pada Mei lepas, membabitkan sejumlah RM577.3 juta yang telah memanfaatkan seramai 378,507 Sahabat AIM di seluruh negara.

Terdahulu, Shabudin yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor turut menyampaikan sumbangan wang tunai sebanyak RM200 seorang kepada 148 pelajar di bawah Parlimen Tasek Gelugor yang akan melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi di seluruh negara.

— BERNAMA

1 Komen

  1. Pengeluaran ASB. Pelaksanaan dasar pengeluaran ASB tunai hanya RM1000 00 ringgit sahaja bagi pelanggan adalah menyusahlan. Sekiranya mahu keluar lebih perlu buat pemindahan ke akuan MAYBANK. Pengurusan POS Malaysia perlu bersikap adil da rasional kepada pelanggan.

Comments are closed.