Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) dilihat berani berubah apabila meletakkan 86 peratus calon muka baru daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, perubahan kian menyerlah apabila BN menampilkan lebih ramai golongan muda dalam pilihan raya kali ini.

“Syabas, ia satu tindakan yang sangat dialukan dan kena pada masanya bagi era pembaharuan mendepani rakyat.

“Pemuda UMNO menyokong langkah berkenaan dan yakin tawaran pemimpin muka muda dan baharu dapat memberi keyakinan kepada pengundi untuk bersama BN.

“Ia juga membuktikan UMNO tidak ketandusan calon berkaliber serta memberi kesegaran dalam idealisma perjuangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, BN menampilkan 28 calon pada PRN Melaka sekali gus bertanding secara bersendirian tanpa kerjasama parti lain.

Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dalam PRN itu, UMNO menampilkan 20 calon, lapan diwakili MCA dan satu kerusi MIC.

Dalam pada itu, menuju perubahan landskap politik yang lebih dinamik, UMNO harus membuka peluang kepada setiap orang yang berkelayakan untuk menjadi calon.

“Yang penting ia adalah calon yang boleh menang, diterima masyarakat dan boleh berkhidmat dengan baik.

“Semasa PRK Parlimen Cameron Highland pada Januari 2019, BN telah menongkah kelaziman dengan mencalonkan orang luar hierarki parti, Ramli Md Nor dan hasilnya BN beroleh kemenangan sangat baik.

“Diharapkan tindakan berani menampilkan calon baharu pada PRN Melaka kali ini juga dapat membuahkan hasil ala Cameron Highland

“Semoga semangat kemenangan PRK Cameron Highland, Rantau, Tanjung Piai, Kimanis, Chini, Slim berterusan pada PRN Melaka,” katanya.

Beliau percaya kepimpinan UMNO Malaysia dan UMNO Melaka telah membuat analisa keupayaan calon untuk menang, kredibiliti setiap calon sebelum memberi watikah mereka membawa bendera BN.

“Dengan jumlah seramai 495,196 pengundi akan menentukan pemimpin pilihan mereka, kerja keras amat diperlukan dalam mendekati pengundi.

“Sebahagian besar daripada angka itu adalah pengundi baharu dan pengundi muda yang perlu didekati Pemuda UMNO,” katanya.

Katanya lagi, ia adalah peluang untuk memberi keyakinan kepada rakyat bahawa UMNO mempunyai kredibiliti untuk membawa negara, khususnya Melaka terus cemerlang, stabil dan makmur.

“Kami menyokong langkah BN bertanding secara solo. Parti telah membuat keputusan maka kami jentera akan sepenuh tenaga mengerah keringat terutamanya membantu empat calon BN yang merupakan Pemuda UMNO.

“Biarpun bertanding solo akan memberi cabaran besar tetapi kami akan tetap harungi, kerana itulah yang telah dilakukan sejak dahulu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast