KULIM – Akibat melanggar lampu isyarat merah, seorang penunggang motosikal maut manakala rakannya parah selepas dilanggar sebuah pacuan empat roda di simpang empat lampu isyarat Jalan KHTP 4, Hi Tech di sini hari ini.
Kejadian pukul 2.12 petang itu menyebabkan Mohammad Shaharuddin Shah Iran, 17, maut di lokasi kejadian manakala rakannya yang juga pembonceng Mohamad Daniel Haikal Kasturi ,17, mengalami kecederaan parah dikejarkan ke Hospital Kulim untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam berkata, hasil siasatan mendapati kedua-dua remaja itu dalam perjalanan menghala ke Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE) untuk pulang ke Penaga, Pulau Pinang.
“Sebaik tiba di simpang empat lampu isyarat tersebut penunggang motosikal itu dipercayai telah melanggar lampu isyarat dan bergerak sewaktu laluannya berwarna merah.
“Ketika mereka (penunggang motosikal) itu bergerak sebuah pacuan empat roda yang datang dari arah Hospital Kulim tidak sempat mengelak lalu melanggar mereka.
“Akibat pelanggaran itu, penunggang yang sudah tidak bersekolah itu maut di lokasi manakala rakannya yang masih bersekolah dilaporkan mengalami kecederaan parah pada kepala, dada serta patah kedua-dua belah kaki,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambah Sazalee, hasil pemeriksaan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di pusat kawalan Hi Tech mendapati lampu isyarat di laluan motosikal berwarna merah.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kulim dan proses bedah siasat akan dilakukan sebaik menerima ujian calitan Covid-19,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette