Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Penggunaan logo Perikatan Nasional (PN) bukan perkara pelik bagi Pas, kata presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ini kerana  Pas pernah menggunakan logo Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 1974.

Katanya, dalam pertandingan menggunakan logo BN yang dicipta daripada idea Yang Dipertua Pas, (Allahyarham) Datuk Mohd Asri Muda ketika itu, parti berkenaan memperoleh kemenangan besar.

“Ini menunjukkan keputusan Pas untuk bertanding menggunakan logo PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini, bukan perkara pelik.

“Juga tidak pelik guna logo lain selain Pas kerana dalam pilihan raya itu Pas berjaya menembusi beberapa kubu kuat UMNO,” katanya yang dipetik Harakahdaily ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada Muktamar Pas kali ke-67 di Duyong Marina Resort, Terengganu, hari ini.

Beliau mengulas keputusan parti itu meninggalkan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) untuk bersama sekutunya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PN dan menggunakan logo perikatan itu pada PRN Melaka.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menjelaskan, antara kubu kuat UMNO yang berjaya ditembusi Pas dengan menggunakan logo lain ialah Parlimen Baling, Kedah; Kemaman, Terengganu dan Gua Musang, Kelantan.

“Sebelum ini, tiga kawasan Parlimen ini merupakan kuat UMNO, namun sekarang sudah berjaya ditembusi oleh Pas.

“Begitu juga situasi yang berlaku di Melaka ketika ini, biar pun kawasan itu kuat UMNO namun saya percaya situasinya sudah berbeza,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini ahli Parlimen Pas tidak pernah berganjak daripada perjuangan parti biar pun ada wakil rakyat dari parti lain melompat.

Katanya, kejayaan itu kerana hasil berkat baiah yang menyelamatkan wakil rakyat Pas daripada kejadian melompat parti.

“Kerajaan Pas Kelantan pernah dibuli pada peringkat awal mentadbir negeri itu pada 1959. Biar pun dibuli namun rakyat Kelantan tetap menyokong Pas sehingga sekarang,” ujarnya.

Dalam PRN Melaka, Pas diberi lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala rakan gabungan dalam PN iaitu Parti Gerakan mendapat lima kerusi dan Bersatu pula mendapat 15 kerusi DUN. – MalaysiaGazette