MELAKA – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) berpandangan langkah Pakatan Harapan (PH) mencalonkan dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka yang melompat disifatkan sebagai strategi politik semata-mata.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, parti itu mendakwa terdapat janji yang telah diberikan oleh gabungan itu kepada kedua-dua calon yang kini bertanding di bawah tiket PH.
“Dia (PH) ambil calon ini atas dasar strategi politik, mungkin kerana sebelum empat ADUN ini menarik sokongan sudah ada perundingan dengan PH, kalau dapat tubuh kerajaan tanpa dibubar DUN maka Datuk Seri Idris Haron akan dicanang sebagai ketua menteri, mungkin itu perjanjiannya.
“Sebab itu kena ambil dia jadi calon kerana sudah janji tapi Idris Haron berkata dia bertindak demikian kerana berlaku penyelewengan dalam kerajaan negeri Melaka dan menyelamatkan kerajaan negeri untuk mencampuri pengurusan pentadbiran, ada juga benar.
“Saya tidak tahu hakikat sebenar, jadi PH ambil calon ini mungkin kerana janji sebelum ini dan atau pun mungkin kerana strategi politik,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan PUTRA di DUN Pengkalan Batu hari ini.
Ibrahim diminta mengulas mengenai tindakan PH yang mencalonkan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron yang akan bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan dan Datuk Nor Azman Hassan yang akan mempertahankan DUN Pantai Kundor.
Menurut Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Idris diterima sebagai ahli PKR manakala Nor Azman adalah ahli Parti Amanah Negara (Amanah).
Semalam, pemimpin Amanah, Khalid Samad berkata, tidak ada salahnya untuk PH menerima dua bekas pemimpin UMNO yang menyebabkan kerajaan Melaka tumbang.
Mempertahankan tindakan partinya untuk menerima sekurang-kurangnya seorang daripada mereka, Pengarah Komunikasi Amanah itu mendakwa pendirian bekas pemimpin UMNO itu adalah “pendirian berprinsip dan mereka terpaksa membayar harganya”.
Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, drama katak politik yang berlaku di Melaka terserah kepada pengundi untuk membuat keputusan masing-masing.
“Itu terpulang kepada persepsi masing-masing, saya tidak ulas panjang kerana nak berlaku adil. Cuma saya nak kata kalau pun nak cari ‘katak’ , cari yang bernama Ibrahim Ali sebab belum ada lagi katak sejenis ini,” sindirnya yang mesra sebagai Tok Him. – MalaysiaGazette