Calon Bebas, Datuk Norhizam Hassan Baktee (tengah) bersama calon Barisan Nasional, Kalsom Nordin (kiri), calon Pakatan Harapan, Muhammad Danish (dua kiri), calon Perikatan Nasional, Azrudin Idris (dua kanan) dan calon Parti PUTRA, Mohd Aluwi Sari (kanan) bergambar selepas menghantar borang pencalonan pada hari penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka DUN Pengkalan Batu N.15 di Dewan Mini Stadium Bistari, Melaka. foto SYAFIQ AMBAK, 08 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Ketika semua calon dari Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) selesai menyerahkan kertas pencalonan, tumpuan turut diberikan kepada lima calon Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Sungguhpun lima mereka belum mempunyai pengalaman bertanding dalam mana-mana pilihan raya berbanding lawannya, namun proses penyerahan kertas pencalonan masing-masing selesai dengan jayanya, sekali gus melayakkan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

Lima calon Putra yang diterima kertas pencalonan tanpa sebarang bantahan ialah Mohd Faizal Amzah yang bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong.

Calon DUN Duyong, Mohd Faizal Amzah

Beliau diiringi Setiausaha Agung Putra, Borhan Ahmad Zakaria memasuki Dewan Japerun Duyong kira-kira jam 8 pagi.

Diikuti Mohamad Hashidi Mohd Zin (DUN Paya Rumput) diiringi pengiring Timbalan Presiden Putra, Tan Sri Khalid Yunus menyerah kertas pencalonan di di Kompleks Sukan Hang Jebat.

Pengerusi Putra Melaka, Prof. Dr. Mohd Aluwi Sari yang bertanding di DUN Pengkalan Batu diiringi Naib Presiden, Datuk Hamidah Osman dan Pengerusi Badan Perhubungan Putra Kelantan, Prof. Datuk Dr. Che Musa Che Omar masuk ke Dewan Bistari Ayer Keroh.

Nazatul Asyraf Md. Dom yang bertanding di kerusi Sungai Rambai menyerahkan kertas pencalonan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Zahiruddin pada jam 8 pagi.

Beliau diiringi Naib Presiden Putra, Datuk Dr. Aziz Jamaluddin

Manakala calon tunggal wanita, Laila Norinda Maon (DUN Gadek) menyerahkan kertas pencalonan di Kompleks Japerun Gadek dengan diiringi Pengerusi Badan Perhubungan Putra Pulau Pinang, Mohd Nasir Othman.

Calon DUN Gadek, Laila Norinda Maon

Seperti mana kata Presiden Putra, Datuk Dr. Ibrahim Ali perjuangan parti itu yang pertama kali menyertai pilihan raya diibaratkan bagai mendaki Gunung Everest.

“Penamaan calon sudah sudah selesai, semua lima calon Putra diterima kertas pencalonan masing-masing.

“Dengan ini, perjuangan mendaki Gunung Everest bermula dengan lima bersaudara pahlawan Putra mula bertarung. Biar putih tulang, jangan putih mata. Hanya yang cekal akan tiba di puncak Everest,” katanya yang turut berada di Melaka untuk memberi sokongan kepada pemimpin pimpinannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast