Calon Barisan Nasional, Kalsom Nordin pada hari penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka DUN Pengkalan Batu N.15 di Dewan Mini Stadium Bistari, Melaka. foto SYAFIQ AMBAK, 08 NOVEMBER 2021.

AYER KEROH – Dewan Mini Stadium Bistari yang menjadi Pusat Penamaan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka telah dihadiri lima calon yang akan bertanding.

Bermula dengan kehadiran calon dari Parti Pribumi Perkasa Malaysia (Putra), Mohd Aluwi Sari pada pukul 7.33 pagi, kelibat calon-calon lain yang tiba adalah calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Danish pada pukul 8.45 pagi dan calon Perikatan Nasional (PN), Azrudin Idris beberapa minit selepas itu.

Ia diikuti dengan kehadiran calon Barisan Nasional (BN), Kalsom Nordin pada pukul 8.59 pagi dan yang terakhir sampai calon bebas, Datuk Norhizam Hassan Baktee pada pukul 9.05 pagi.

Kesemua calon berkenaan ditemani seorang pencadang dan penyokong.

DUN tersebut merupakan salah satu daripada kawasan ‘panas’ yang bakal menyaksikan pertandingan lima penjuru.

Sebelum ini, Norhizam, 55, menyandang kerusi DUN berkenaan atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Norhizam Hassan Bakti tiba pada hari penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka DUN Pengkalan Batu N.15 di Dewan Mini Stadium Bistari, Melaka. foto SYAFIQ AMBAK, 08 NOVEMBER 2021.

Bagaimanapun pada 2 Mac 2020, Norhizam yang juga timbalan pengerusi DAP Melaka ketika itu, menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri baharu di bawah Perikatan Nasional (PN), lalu dipecat oleh DAP.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov.

PRN itu diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lepas susulan empat Ahli DUN (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mereka ialah Norhizam, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast