Calon Barisan Nasional DUN N.24 Bemban Datuk Koh Chin Han bercakap pada sidang media isu berkenaan lompat parti politik di Bilik Gerakan Utama MCA, World Youth Hotel Ayer Keroh, Melaka. Foto AMIRUL SHAUFIQ 09 NOVEMBER 2021.

AYER KEROH – Tindakan Barisan Nasional (BN) menampilkan hampir 90 peratus calon anak muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka membuktikan parti sedia berubah mengikut peredaran masa.

Calon BN bagi kerusi Dewan Undangan (DUN) Bemban, Datuk Koh Chin Han berkata, langkah itu merupakan pengiktirafan kepada golongan muda yang berperanan penting dalam menentukan kerajaan selepas ini.

“Masa berubah, sekarang ini era anak muda yang merangkumi kira-kira 40 peratus, merupakan jumlah yang dapat memainkan peranan penting untuk menentukan siapa yang menang.

“Sebab itu parti (BN) kena selari dengan perkembangan semasa dan zaman sekarang.

“Kita sedia mendengar suara anak muda, sebab itu MCA menampilkan calon muda,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan MCA di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau tidak menafikan penampilan anak muda kali ini sebagai ujian lapangan kepada BN sebelum pelaksanaan Undi 18 menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Ia (ujian lapangan) kerana kita nak membuktikan BN khususnya MCA sama-sama cuba terbaik untuk merapatkan diri dengan golongan muda.

“Kita yakin dengan usaha sebegini kita dapat menarik sokongan golongan muda,” katanya.

Menurut Chin Han, beliau memberi jaminan suara anak muda akan menjadi keutamaan dalam DUN Melaka sekiranya calon BN diberi mandat dalam PRN Melaka.

“Jika (calon BN) terpilih, maka mereka berkelayakan status sebagai ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) yang boleh mendekati anak muda dengan lebih efektif.

“Pada waktu itu suara anak muda akan dibawa ke DUN Melaka, itu yang terbaik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast