Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof (tengah) memperkenalkan calon Perikatan Nasional DUN Machap Jaya, Tai Siong Jul (kiri) dan calon Perikatan Nasional DUN Rembia, Zamzuri Arifin (dua dari kanan) serta calon Perikatan Nasional DUN Asahan, Dhanesh Basil (kanan) ketika di Bilik Gerakan A Famosa Resort, Alor Gajah, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 09 NOVEMBER 2021.

ALOR GAJAH – Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md Yusof melahirkan keyakinan gabungan Perikatan Nasional (PN) akan dapat memenangi tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di parlimen itu.

Beliau dengan yakin berkata ketiga-tiga kerusi itu adalah DUN Rembia, DUN Asahan dan DUN Machap.

“Saya boleh meramalkan di Alor Gajah, kita akan mendapat kemenangan tiga kerusi DUN. Ini bukan spekulasi tapi atas dapatkan data tapi terpulang kepada hari mengundi berapa ramai yang keluar mengundi oleh kerana kita menyantuni masyarakat Alor Gajah dan ramai yang tertarik.

“Semalam, ada ratusan orang UMNO akan berhijrah kepada PN dan mereka akan serahkan borang keahlian kerana ada rakyat yang sudah memahami perjuangan kita,” katanya dalam sidang media di bilik gerakan Ahli Parlimen Alor Gajah hari ini.

Hadir sama tiga calon PN bagi DUN Rembia, Zamzuri Arifin; DUN Machap Jaya, Tai Siong Jiul dan DUN Asahan, B. Dhanesh.

Bekas menteri PN itu berkata ketiga-tiga kerusi itu amat cerah untuk dimenangi berdasarkan kepada populasi campuran pengundi di kawasan itu.

“Dahulunya kalau dilihat adalah kerusi campuran, saya tengok rakyat suka kepada penyandangnya dahulu tetapi oleh kerana beliau tidak bertanding dan dia begitu rapat dengan komuniti di situ, jadi saya yakin kita kena buat kerja kuat sikit dengan jentera tadi akan memberikan peluang kepada calon kita di ketiga-tiga kerusi ini,” jelas Redzuan.

Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof bercakap kepada media serta sesi memperkenalkan calon-calon DUN di Bilik Gerakan A Famosa Resort, Alor Gajah, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 09 NOVEMBER 2021.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) itu turut menggesa agar Kementerian Kesihatan (KKM) agar melonggarkan Prosedur Operasi Standard semasa kempen PRN Melaka.

Beliau beralasan ia bagi menggalakkan pengundi merasakan momentum PRN dan membolehkan lebih ramai turun mengundi.

“Hari ini walaupun kita tidak menanda aras imuniti kelompok dan kita mahu semua rakyat mengambil suntikan vaksinisi tetapi kita tengok penurunan kes hari ini, saya sarankan sekiranya untuk menggalakkan ramai keluar mengundi kita longgarkan SOP.

“Contohnya kalau tidak boleh berhimpun, kita boleh buat ceramah beramai-ramai,” katanya lagi.

Untuk rekod, PN meletakkan calon di semua kerusi DUN dengan 15 daripada ditandingi Bersatu, lapan kepada Pas dan lima kepada Gerakan. – MalaysiaGazette