Nasrul Ali Hasan

KUALA LUMPUR – Dua calon Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November ini menjadi bukti parti itu mengiktiraf peranan anak muda.

Ketua Pergerakan Wira Putra Malaysia, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif menyifatkan, pemilihan Mohamad Hashidi Mohd Zin, 32, untuk bertanding di kerusi DUN Paya Rumput dan Nazatul Asyraf Md. Dom, 38, di DUN Sungai Rambai sebagai tepat serta menepati wadah perjuangan parti itu.

Katanya, sebagai sebuah parti dinamik, Putra membuat keputusan tepat menampilkan dua daripada lima calonnya dalam kalangan anak muda.

“Ini adalah satu penghargaan dan mandat yang amat besar bagi Wira Putra yang pertama kali terlibat dalam pilihan raya,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Beliau berkata, dua calon itu adalah aktivis belia yang berkhidmat secara sukarelawan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lebih lima tahun dan merupakan anak tempatan.

Nasrul Ali berharap, pengundi di DUN Paya Rumput dan DUN Sungai Rambai memilih calon Putra itu untuk mewakili mereka di Dewan Undangan Negeri Melaka nanti.

“Berilah peluang kepada kedua calon yang juga aktivis muda ini membawa suara dan memperjuangkan kepentingan masyarakat setempat.

“Dengan pendekatan dan kepercayaan ini, memberi peluang kepada kumpulan anak muda ini mempengaruhi peningkatan peratusan keluar mengundi dari kalangan remaja.

“Golongan ini sebenarnya sudah dengan keadaan politik semasa dan pembawakan pemimpin senior yang kebanyakannya cakap tidak serupa bikin,” katanya.

Menurut Nasrul Ali, golongan muda di dua DUN itu perlu diberikan kesedaran dan penjelasan melalui pelbagai usaha yang sesuai khusus untuk mendedahkan dan mendidik mereka.

“Dengan pendekatan yang tepat, walaupun tiada lagi kempen secara bersemuka dibenarkan, ia masih berpotensi membawa kemenangan di kedua-dua DUN ini.

“Wira Putra percaya wadah PRN Melaka ini akan memberi keyakinan kepada pemimpin muda di luar sana yang kompeten.

“Bagi anak muda yang mencari tempat untuk politik, sertailah Putra kerana ia wadah perjuangan dan platform untuk mengembangkan potensi serta kerjaya politik masa depan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast