KUALA LUMPUR – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) mensasarkan dua zon, masing-masing di Utara dan Timur Semenanjung Malaysia, bagi melaksanakan Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB).
Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Zamri Yaakob berkata, ia melibatkan 555 hektar kawasan tanaman padi.
“Perancangan Nafas melalui program ini adalah menjadi peneraju utama dalam industri padi dan beras negara melalui model Nafas.
“Dalam massa yang sama bertindak sebagai pembekal dan pengeluar input pertanian yang berkualiti dan harga yang kompetetif dalam aktiviti padi beras,” katanya kepada media.
Terdahulu, Nafas merupakan salah satu daripada tujuh syarikat peneraju yang menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Program Smart SBB dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), hari ini.
Katanya, Zon Utara Nafas akan membuka sawah padi di Kampung Namdan (75 hektar); Kampung Chelong (100 hektar); Baling (100 hektar) dan Berseri, Perlis (80 hektar).
Manakala di Zon Timur melibatkan sawah padi di Gerai, Terengganu dan Kerandang masing-masing 100 hektar tanah.
Jelasnya, seramai 200 pesawah akan terlibat dalam program di bawah Nafas yang menjadi salah satu syarikat peneraju.
Dalam pada itu, Zamri berkata, Nafas akan sentiasa memberikan latihan dan menjadi pusat rujukan dalam membangunkan petani muda berlandaskan teknologi dan inovasi terkini. – MalaysiaGazette