Idris Ahmad

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang membangunkan Pelan Tindakan Orang Kurang Upaya (OKU) Muslim sebagai inisiatif menyantuni golongan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, pelan tersebut dibangunkan bagi mendukung Pelan Tindakan OKU Kebangsaan dan juga Dasar OKU Negara yang sedia ada di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

“Sehubungan itu, perkara ini (pelaksanaan kursus pra-perkahwinan kepada komuniti OKU)  akan diambil kira dan dibincangkan untuk diberikan perhatian dalam penggubalan pelan tersebut,” katanya pada sesi pemberitahuan pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Shahrizukirnain Abd. Kadir (Setiu-Pas) yang bertanya sejauh mana pelaksanaan kursus pra-perkahwinan kepada komuniti OKU telah dijalankan sebagaimana yang telah digariskan dalam Dasar Pemerkasaan OKU Rabbani dan bilangan peserta yang telah menyertainya.

Mengulas lanjut, Idris berkata, golongan OKU telah diberikan pengecualian daripada mengikuti Kursus Praperkahwinan Islam dan jumlah penyertaan daripada golongan ini adalah tidak ramai dan rekod penyertaan amat sedikit.

Jelas beliau, data yang diperolehi daripada negeri Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) contohnya, merekodkan bahawa penyertaan Kursus Pra-perkahwinan Islam untuk OKU hanya seramai 36 orang pada tahun 2019 daripada kalangan OKU pendengaran.

“Melaka menggantikan pengecualian menghadiri kursus pra-perkahwinan kepada pelaksanaan temuduga kepada OKU penglihatan, pendengaran dan lembam,” katanya. – MalaysiaGazette