KUALA LUMPUR – Sungai Klang Expressway Sdn. Bhd. (SKESB) mengakui cadangan projek Lebuh Raya Sungai Klang (SKE) masih belum mendapat kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Negeri Selangor walaupun penyerahan cadangan projek tersebut telah dibuat kepada kedua-duanya.

Bagaimanapun, syarikat tempatan yang khusus untuk pembinaan awam dan kejuruteraan itu mengesahkan telah membuat penyerahan kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) kepada perhatian Menteri Kanan Kerja Raya pada 19 November 2020.

Sebagai maklum balas kepada penyerahan tersebut, SKESB telah dijemput untuk hadir ke Jawatankuasa Penwastaan ​​Kementerian Kerja Raya (JKPKKR) pada 27 Mei 2021.

“Pada masa ini, SKESB sedang menunggu maklum balas daripada KKR,” katanya dalam kenyataan di sini.

SKESB menjelaskan kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian negeri menafikan Kerajaan Selangor telah memberi kelulusan bagi pembinaan lebuh raya baru yang diberi nama sebagai Sungai Klang Expressway (SKE), sebagaimana yang ditularkan dalam sebuah video di media sosial baru-baru ini.

Izham Hashim berkata, pihak kerajaan negeri telah meneliti video tersebut, dan mendapati bahawa projek itu tiada dalam kelulusan projek lebuh raya baru yang akan dilaksanakan di Selangor.

“Sebaliknya kerajan negeri mendapati video pembinaan jajaran SKE itu hampir serupa cadangan pembinaan lebuh raya Sungai Klang Link (SKL), yang telah mendapat kelulusan dasar Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 27 Januari lalu, namun projek itu masih menunggu kelulusan daripada pihak kerajaan Persekutuan,” katanya dalam sidang media semalam.

Beliau menyifatkan penularan video berkenaan bakal memberi kesan terhadap senarai enam projek lebuh raya di Selangor yang masih dalam peringkat kelulusan dasar.

Bahkan boleh mengelirukan masyarakat dan pihak berkepentingan.

Dalam kenyataan hari ini, SKESB berkata, syarikat itu juga membuat penyerahan perhatian Kerajaan Negeri Selangor kepada Timbalan Setiausaha SUK (Pembangunan) Negeri Selangor merangkap Pengarah Unit Perancang Ekonomi (UPEN) Selangor pada 19 November 2020.

SKESB kemudiannya menerima surat daripada Pejabat Timbalan SUK Negeri Selangor pada 8 Disember 2020 memaklumkan bahawa cadangan projek SKE telah dimajukan kepada KKR dan sebarang maklum balas daripada KKR akan dimaklumkan kepada SKESB.

”SKESB sentiasa memberi penekanan yang besar untuk mematuhi proses kelulusan yang sewajarnya. SKESB kmited untuk melibatkan semua agensi berkaitan dan badan kerajaan tepat pada masanya dan teratur, setelah mendapat kelulusan daripada kerajaan,” katanya.

SKESB menambah, syarikat ini telah menjalin kerjasama strategik dengan MTD Capital Berhad pada 24 Mac 2021 dalam pembinaan dan pengurusan konsesi lebuh raya kepada projek cadangan SKE.

Ujarnya, pada masa ini, SKESB sedang menumpukan perhatian dalam membangunkan Lebuhraya Sungai Klang kerana ia akan mengurangkan beban trafik yang berat untuk penduduk Lembah Klang dan juga menyumbang kepada ekonomi Malaysia.

Ia selari dengan berhasrat syarikat untuk memainkan peranan penting dalam transformasi bandar dan wilayah khususnya di Lembah Klang. – MalaysiaGazette