Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang dilancarkan hari ini merupakan persediaan dan tindakan yang diambil bagi mempersiapkan Keluarga Malaysia dalam mendepani dan mengharungi fasa endemik COVID-19, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR – Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang dilancarkan hari ini merupakan persediaan dan tindakan yang diambil bagi mempersiapkan Keluarga Malaysia dalam mendepani dan mengharungi fasa endemik Covid-19, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata ANMS bertujuan membudayakan hidup sihat dan kelestarian persekitaran yang menyokong kesejahteraan kesihatan Keluarga Malaysia, di samping berusaha menjadikan Keluarga Malaysia sihat sejahtera sepanjang hayat.

Katanya agenda itu merupakan pakej kesejahteraan kesihatan yang diteliti, dirancang dan seterusnya diperkenalkan oleh kerajaan melalui Kementerian Kesihatan sebagai peneraju utama, dan disertai secara langsung oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Agenda ANMS dilaksanakan untuk tempoh 10 tahun, iaitu mulai 2021 hingga 2030. Pelaksanaannya dibahagikan kepada dua penggal; iaitu penggal pertama bermula pada 2021 sehingga 2025, dan penggal kedua pula bermula pada 2026 dan akan berakhir pada 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan ANMS yang disiarkan menerusi program Selamat Pagi Malaysia di saluran TV 1 hari ini.

Ismail Sabri berkata bagi menjayakan agenda berkenaan, kerajaan mengambil pendekatan Whole of Nation, iaitu ‘Keseluruhan Negara’ dengan menjalin kerjasama yang erat dengan semua pihak untuk bergerak sebagai rakan strategik.

“Kerajaan bertanggungjawab merangka hala tuju, strategi dan initiatif ANMS, manakala pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) adalah penggerak kepada strategi serta usaha yang telah dirangka atau inisiatif yang diperkenalkan,” katanya.

Perdana Menteri berkata ANMS melibatkan empat teras utama iaitu memantapkan promosi pembudayaan hidup sihat; memantapkan perkhidmatan kesejahteraan kesihatan; memperkasakan kawalan kesihatan kendiri dan memantapkan kebersihan persekitaran, yang meliputi 10 strategi dan 24 inisiatif.

“Saya menaruh harapan tinggi bahawa menerusi ANMS, Keluarga Malaysia akan terus mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan, kekal dengan kehidupan norma baru, mengambil vaksin serta mengamalkan kawalan kesihatan kendiri, seperti menjalani ujian dan kuarantin jika bergejala atau menjadi kontak rapat kepada kes positif COVID-19,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, agenda itu turut diberikan penekanan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) terutamanya dalam meningkatkan penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan, dan antara strategi yang akan digunakan dalam RMK12 berkaitan kesejahteraan kesihatan ialah meningkatkan literasi kesihatan serta kesedaran mengenai kesihatan dalam kalangan Keluarga Malaysia.

Perdana Menteri berkata kerajaan turut memutuskan untuk membentuk Dasar Literasi Kesihatan Kebangsaan yang akan melaksanakan beberapa inisiatif termasuk penganjuran program kesedaran penjagaan kesihatan yang akan dipergiat melalui pelbagai platform, pada semua peringkat dengan memanfaatkan fasiliti di bawah pelbagai agensi.-BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast