Najis tikus ditemui di atas dulang yang digunakan untuk membakar roti.

BUTTERWORTH – “Premis saya berhampiran pasar dan longkang semestinya tikus akan datang, malah dulang ada tahi tikus itu sudah tidak digunakan sejak setahun lalu”.

Itu alasan seorang lelaki sebaik sahaja Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) menemui sejumlah najis tikus di atas dulang yang digunakan untuk membakar roti di premisnya di Jalan Raja Uda di sini, hari ini.

Mohd Wazir (kiri) menunjukkan najis tikus yang ditemui di kilang pembuatan roti di Jalan Raja Uda, Butterworth hari ini.

Lebih menjijikkan, serbuan kira-kira jam 12 tengah hari itu juga mendapati dulang aluminium digunakan bukan saja berkarat malah diselaputi kesan minyak yang tebal ekoran pemilik premis tidak membersihkannya dengan sempurna.

Ketua Bahagian BKKM negeri, Mohd Wazir Khalid berkata, pihaknya bersama Bahagian Pelesenan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menyerbu premis berkenaan selepas membuat risikan sejak tiga minggu lalu.

Katanya, hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan najis tikus, lipas serta kegagalan pemilik premis mematuhi Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM).

Mohd Wazir.

“Kalau kita lihat keadaan dulang yang digunakan untuk membakar roti ini sudah berkerak dengan sisa minyak dan kita tidak menolak kemungkinan sisa minyak itu jatuh atas adunan roti ketika proses pembakaran dilakukan.

“Selain itu, pemeriksaan turut menemui perangkap tikus yang menunjukkan pemilik premis sedia maklum berhubung kewujudan atau kehadiran haiwan itu ini sekali gus membuatkan risiko berlaku keracunan makanan tinggi.

“Semakan juga mendapati dua pengendali makanan itu tidak mendapatkan suntikan tifoid,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.

Lipas (bulatan merah) serta perangkap tikus turut ditemui di tempat pembuatan roti itu.

Ketika diminta mengulas mengenai alasan premis berhampiran pasar dan longkang punca kehadiran tikus, Mohd Wazir menegaskan pemilik premis perlu membawa isu tersebut kepada pihak berkuasa tempatan agar langkah pembersihan di luar kawasan itu dapat dilakukan.

“Mereka sudah mengusahakan kilang pembuatan roti ini sejak enam tahun lalu dan kita sudah bagi nasihat berhubung perkara ini ketika melakukan operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) baru-baru ini,” kata beliau.

Susulan itu, Mohd Wazir berkata, pihaknya mengeluarkan empat kompaun berjumlah kira-kira RM3,000 atas pelbagai kesalahan.

Dulang yang digunakan untuk membakar roti berkerak dengan sisi minyak.

“Selain itu, kita juga menutup premis terbabit selama dua minggu bermula hari ini, mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 untuk kerja pembersihan dilakukan,” tegas beliau. – MalaysiaGazette