Pengerusi PN Melaka,, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen ketika ditemui di selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Masjid Al Falahin, Alai di Melaka hari ini.

MELAKA – Kedudukan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri bukanlah jaminan diangkat sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13 sekiranya PN memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) 20 November ini.

Pengerusi PN negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen sebaliknya berkata, PN mempunyai banyak tokoh sebagai ketua menteri dan tidak pernah ketandusan calon untuk diputuskan oleh pucuk pimpinan parti.

“Saya fikir tak semestinya kedudukan sebagai Pengerusi PN Melaka ini menjadi satu kayu ukur untuk penentuan calon ketua menteri.

“Saya serahkan sekali lagi kepada pucuk pimpinan untuk menilai dan membuat keputusan….dalam PN kita ada banyak tokoh, kita tidak ketandusan calon-calon ketua menteri.

“Ada banyak calon-calon yang boleh ditonjolkan dan apapun keputusan pucuk pimpinan saya akan menerima sesiapa sahaja yang dicalonkan nanti,” katanya ketika ditemui di selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Masjid Al Falahin, Alai di sini hari ini.

Terdahulu, calon PN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas itu ditanya adakah beliau bersedia sekiranya PN mencalonkannya sebagai ketua menteri seperti yang sering disebut-sebut sebelum ini.

Malah, faktor beliau sebagai pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) paling kanan di Melaka juga antara yang melayakkannya dipilih menerima jawatan itu.

“Saya serahkan keputusan kepada pucuk pimpinan PN dan setakat hari ini belum ada apa-apa keputusan dibuat. Sama ada strategi nak umum calon Ketua Menteri sebelum (menang PRN) atau selepas itu, saya serah kepada kebijaksanaan
Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya.- MalaysiaGazette