Calon Bebas N.24 Bemban, Datuk Ng Choon Koon (kiri) bertanyakan sesuatu dengan penghuni semasa membuat lawatan ke PPR susulan masalah penduduk perjanjian jual beli rumah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di PPR Tehel, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 13 NOVEMBER 2021.

MELAKA – Seramai 500 buah keluarga mewakili kira-kira 2,000 penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tehel, Bemban di sini buntu memikirkan nasib yang mungkin terpaksa menyewa rumah didiami sehingga ke akhir hayat.

Dakwa penduduk, semuanya gara-gara tidak mengetahui statusĀ  perjanjian sewaan rumah dibangunkan Lembaga Perumahan Melaka yang mula didiami pada April 2017 itu, sama ada ianya berkonsepkan sewa beli atau pun ‘sewa sampai mati’.

Penduduk, Norah Laila, 72, berkata, masalah itu dikatakan berpunca daripada pertukaran kerajaan pada 2018 apabila status unit rumah bernilai RM35,000 itu yang pada mulanya ditawarkan secara sewa beli, namun tiba-tiba ‘samar’ selepas peralihan kerajaan.

Norah Laila. Foto SYAFIQ AMBAK, 13 NOVEMBER 2021.

“Bila tukar sahaja kerajaan, dikatakan cuma boleh sewa, tak boleh beli. Habis nanti tukar lagi kerajaan masalah berulang sampai bila? Umur makcik pun dah tua, ada anak orang kurang upaya (OKU) yang perlu dijaga.

“Setiap bulan makcik bayar sewa RM250 tapi sampai bila? Di mana anak makcik nak tinggal kalau sampai masa tiba-tiba kena pindah sebab tiada kontrak yang jelas adakah rumah ini sewa beli atau macam mana,” katanya.

Bagi pesara M Varathan, 65, pula, kemelut politik yang melanda pentadbiran negeri membuatkannya seperti ditipu kerajaan kerana masih gagal untuk menyelesaikan isu rakyat yang sepatutnya menjadi keutamaan.

“Lebih menyedihkan apabila saya telah mengeluarkan belanja yang besar untuk menjadikan rumah ini sebagai ‘syurga’ tapi lepas itu dikatakan tak boleh beli pula.

“Lembaga Perumahan Melaka (LPM) sewajarnya dapat menjelaskan segera itu ini bukannya terus berteka teki dengan penduduk yang mahukan satu jaminan bertulis,” katanya.

Calon Bebas N.24 Bemban, Datuk Ng Choon Koon (kiri) bergambar bersama penghuni semasa membuat lawatan ke PPR susulan masalah penduduk perjanjian jual beli rumah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di PPR Tehel, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 13 NOVEMBER 2021.

Sementara itu, ibu tiga anak Chong Siew Yeng, 58, turut berharap nasib mereka dibela pihak berwajib sebelum ‘menutup mata’ demi kebajikan anak dan cucu di masa hadapan.

“Tolonglah berikan satu kata putus supaya memudahkan penduduk buat perancangan untuk masa depan keluarga,” katanya.

Sementara itu, calon bebas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Datuk Ng Choon Koon yang meluangkan masa hampir satu jam mendengar pemasalah penduduk berjanji untuk segera menyelesaikan masalah itu.

“Sekiranya saya mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November ini, saya akan berusaha untuk menyelesaikan masalah di PPR ini yang didiami 500 keluarga dengan penduduknya sekitar 2,000 orang.

“Berdasarkan maklumat dari penduduk, konsep asal diperkenalkan LPM adalah selepas lima tahun membayar sewa, sebahagian sewa itu akan ditukarkan menjadi seperti bayaran deposit.

“Selepas itu, mereka akan teruskan bayar ansuran kepada LPM tetapi kemudian penduduk diberitahu konsep bertukar menjadi hanya akan disewakan. Itu yang mewujudkan kebimbangan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette