Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan) Malaysia, Datuk Abdul Wahabi Abdullah menunjukkan barang dagangan import ÔTitanium ForgingsÕ yang berjaya dirampas yang dianggarkan berjumlah RM 3.5 juta di Wisma Kastam Pulau Indah, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 13 NOVEMBER 2021.

KLANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan cubaan mengimport barang dagangan disyaki aloi jenis titanium forgings yang dianggarkan bernilai RM3.52 juta.

Rampasan dibuat menerusi serbuan di sebuah gudang di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang di sini pada 27 Oktober lalu.

Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan/Pematuhan), Datuk Abdul Wahabi Abdullah berkata, bertindak atas maklumat sepasukan anggota operasi Unit 1 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah menjalankan serbuan sekitar pukul 12 tengah hari bersama Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) dan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB).

“Anggota operasi telah memeriksa sebuah kontena bersaiz 6.09 meter yang diikrarkan dalam bill of loading sebagai barang dagangan titanium forgings seberat 25,067 kilogram.

“Pengimport atau ejen perkapalan telah gagal mengemukakan Borang Kastam 5 bagi tujuan transhipment dari negara asal dan disyaki menggunakan negara ini sebagai pusat transit sebelum dihantar ke negara lain,” katanya menerusi sidang media di Wisma Kastam, Pulau Indah hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Wahabi berkata, modus operandi berkenaan digunakan bagi mengaburi mata pihak berkuasa kerana membawa barang dagangan strategik yang memerlukan permit import yang sah.

Jelasnya lagi, destinasi dagangan tersebut dipercayai untuk dihantar ke sebuah negara di Timur Tengah.

“Bahan dagangan tersebut disyaki boleh digunakan untuk pembuatan bahagian atau komponen bagi peralatan ketenteraan atau weapon of mass destruction (WMD).

“Kes ini masih dalam siasatan bagi mengesan pemilik atau ejen pengimport yang terlibat bagi tindakan selanjutnya,” katanya.

Abdul Wahabi berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 9 (1) Akta Perdagangan Strategik 2010 kerana mengeksport, memindah atau membawa dalam transit barang strategik tanpa permit.

Sehubungan itu, orang ramai turut digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan termasuk rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan selain dinasihati tidak membabitkan diri dalam aktiviti berkenaan.

JKDM juga menyeru orang ramai memberi kerjasama dengan menyalurkan sebarang maklumat aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau melalui laman sesawang http://aduan.customs.gov.my. – MalaysiaGazette