ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron bercakap pada sidang media di Hotel Muzaffar Melaka. Foto AMIRUL SHAUFIQ 18 OKTOBER 2021

JASIN – Calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, Datuk Seri Idris Haron menafikan kerusi yang ditandinginya kali ini adalah kawasan paling selamat buatnya.

Biarpun PKR kalah tipis dengan 275 undi sahaja namun undi yang dibawa keluar penyandang sebelum ini, Zamzuri Arifin yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga agak besar.

“Saya tak nampak Asahan ini sebagai tempat selamat. Kalau kita berkira-kira dengan fakta yang ada sebenarnya semua tempat tidak selamat bagi mana-mana calon.

“Ini kerana saya memandang dinamik politik itu sungguh pesat, di bawah PH dahulunya walaupun kalah dengan 275 undi (penyandang PKR, Zamzuri Arifin ) tapi perlu dingat calon yang hampir memenangi kerusi ini dahulu telah keluar,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Idris turut berkata, PKR kini giat untuk menarik semula sejumlah 1,500 pengundi yang dibawa oleh Zamzuri.

“Zamzuri telah membawa keluar bersama lebih kurang 1,200 hingga 1,500 undi. Jadi dalam keadaan hari pertama selepas penamaan calon, PH di kawasan Asahan ini telah defisit sekurang-kurangnya 1,500 undi.

“Kita nak kena cari 1,500 undi itu, ini yang saya katakan kami bekerja siang malam dengan bersungguh-sungguh untuk meraih undi ini.

“Sekurang-kurangnya kita setara dengan calon BN yang telah memperolehi 5,900 undi pada PRU14 lalu,” katanya lagi.

Zamzuri kini bertanding sebagai calon Perikatan Nasional (PN) pada PRN Melaka bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia.

Pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) 2018 lalu, Zamzuri memperoleh 5,667 undi dan kalah di tangan calon Barisan Nasional (BN), Abdul Ghafar Atan dengan 5,942 undi.

Ditanya mengenai sentimen pengundi DUN Asahan selepas beliau dipindahkan dari kerusi DUN Sungai Udang, Idris berkata, sebagai orang baharu beliau merasakan pengundi mahupun akar umbi Asahan menerima beliau secara terbuka.

Malah beliau menyifatkan ini mungkin satu ujian kepada dirinya untuk membuktikan sama ada beliau mampu menang di kerusi Asahan.

“Saya katakan tidak boleh memilih kawasan, kalau saya memang nak tempat yang mudah dan tidak perlu kerja siang malam dengan keluasan yang luas dan sebagainya, tetapi parti telah menentukan.

“Saya akur dan yang lebih saya rasa tersentuh kerana keluarga besar PH ini menerima saya seperti saya telah lama berada bersama mereka.

“Ini memamg luar biasa, keluarga PH cabang Alor Gajah ini terutama di DUN Asahan ini menerima saya seolah-olah saya telah bersama mereka sekian lama. Inilah satu perkara yang saya sungguh terharu dan menghargainya,” katanya lagi.

Idris dalam pada itu turut melahirkan rasa kurang senang dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) ketat yang dilihat hanya dilaksanakan kepada sesetengah pihak sahaja.

Beliau berkata, pelaksanaan SOP ketat itu harus dikenakan kepada semua parti mahupun individu.

“Semangat untuk mengekang atau menahan Covid-19 daripada berkembang kita sama-sama hargai maksud itu, cuma harapan kita adalah penguatkuasaan itu mestilah melata.

“Mesti dikenakan kepada semua parti, saya tidak mahu ada parti yang dikekang diikut dan dipantau secara rapat tetapi ada parti pulak yang bebas bergerak dan sebagainya ke pasar dan berjumpa orang.

“Semalam saya pergi ke pasar dan saya dihalang dan ditanya beberapa soalan dan ada mereka yang menggunakan pakaian berlogo dihalang masuk.

“Saya kira itu adalah satu yang mungkin perlu gunakan budi bicara kerana kemungkinan mereka yang berpakaian logo parti itu mahu membeli barangan keperluan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast