Bayi lelaki yang ditemukan di pusat pembuangan sampah.

FAKTA bahawa sekurang-kurangnya purata sembilan kes buang bayi dilaporkan berlaku dalam sebulan sama ada ditemukan hidup atau mati sejak 2018 hingga September lalu cukup menggerunkan. Tatkala banyak pasangan mendambakan cahaya mata kita dikejutkan dengan laporan seperti ini. Persoalan utama di sini ialah apalah dosa dan salah bayi yang baru dilahirkan ini sehingga tergamak dibuang
begitu saja?

Berdasarkan statistik direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 424 kes buang bayi dicatatkan di seluruh negara untuk tempoh tersebut. Malah, apa yang lebih menyedihkan ialah si pelaku jenayah itu kebanyakannya terdiri dari kalangan ibu kandung bayi tersebut dan kenalan yang bersubahat dengan rekod kira-kira 165 suspek adalah ibu kandung bayi manakala 59 pula teman lelaki si ibu. Sebanyak 283 bayi yang dibuang ditemukan mati manakala 141 lagi dijumpai dalam keadaan hidup.

Sikap tidak bertanggungjawab ibu dan kenalan lelakinya itu boleh disimpulkan umpama harapkan pagar, pagar makan padi. Masakan tidak ibu yang sepatutnya menjaga dan melindungi anak yang dikandung itu akhirnya boleh bertindak dengan cukup kejam.

Walaupun si pelaku seringkali dapat dibawa ke muka pengadilan dan dijatuhkan hukuman, namun bilangan kes tetap terus meningkat. Jelas sekali masih ramai yang tidak mengambil iktibar dengan kes buang bayi yang didedahkan selama ini. Ini juga menunjukkan masih banyak lagi ruang kelemahan yang ada dalam masyarakat kita
yang perlu ditangani supaya anak-anak ini dapat diselamatkan.

Cukuplah pelbagai alasan klise yang kita dengar dari orang yang sanggup buang bayi
ini seperti mengandung anak luar nikah, takut dimarahi keluarga, masalah kewangan
atau malu dan belum bersedia. Kita perlu sedar ini adalah masalah sosial yang cukup
serius kerana majoriti pasangan yang terlibat dalam kes buang bayi ini adalah
golongan remaja dan belia sekali gus mencerminkan tahap kecelaruan masalah sosial
dalam kalangan kelompok ini.

Oleh itu anggota masyarakat perlu memainkan peranan yang lebih agresif dan proaktif bagi membantu memerangi wabak dan penyakit sosial yang serius ini. Kita tidak boleh meletakkan tanggungjawab di atas bahu pihak berkuasa atau agensi kerajaan tertentu semata-mata kerana punca utama di peringkat akar umbi adalah datang dari sikap diri sendiri, ibu bapa, keluarga dan masyarakat.

Misalnya ibu yang tergamak buang bayi ini sepatutnya sedar itu adalah satu perbuatan yang sangat zalim dan tidak berperikemanusiaan. Walau apapun alasannya ini adalah perbuatan yang tidak boleh diterima langsung apatah lagi ianya bukan jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi.

Justeru kita memohon kepada mana-mana individu yang berhadapan dengan masalah seperti ini serta takut atau malu janganlah mengambil sebarang keputusan berpaksikan emosi sebaliknya dapatkan bantuan dari pihak berkuasa untuk menyelesaikan masalah dengan baik sekali gus boleh melindungi bayi yang tidak bersalah.

Dalam konteks ini sudah tentu golongan ibu bapa juga perlu memainkan peranan yang besar kerana hampir 30 peratus suspek dilaporkan mereka yang berusia antara 18 hingga 25 tahun, di samping kebanyakkan suspek juga didapati telah bekerja dan tinggal berasingan daripada keluarga. Ini dengan jelas menunjukkan kawalan dan pemantauan ibu bapa terhadap aktiviti sosial anak-anak masih terlalu longgar. Ibu bapa perlu sedar walaupun anak kita sudah bekerja dan tinggal berasingan itu bukanlah lesen untuk kita “cuci tangan” atau lepaskan tanggungjawab begitu saja atas alasan mereka boleh berdiri di atas kaki sendiri. Ingatlah, kita masih bertanggungjawab untuk terus mendidik dan memantau segala gerak geri dan aktiviti mereka.

Malah ibu bapa juga perlu memberi perhatian yang serius terhadap perkembangan Internet dan media sosial yang dilihat semakin menjadi musuh dalam selimut kepada
generasi muda negara ini. Golongan belia nampaknya sangat mudah terpengaruh
dengan pelbagai aplikasi komunikasi seperti Facebook dan WeChat yang menjadi
medan perkenalan dan perhubungan sehingga berakhir dengan tragedi.

Pada masa yang sama anggota masyarakat juga perlu libat sama dalam usaha untuk menangani wabak sosial ini. Tidak salah untuk kita menjaga tepi kain orang dalam hal seperti ini asalkan niat kita baik. Ahli komuniti perlu sentiasa cakna dan prihatin dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka.

Janganlah sampai masalah besar yang berlaku di rumah sebelahpun kita tidak tahu. Hal ini sangat signifikan kerana dalam kebanyakkan kes apabila pihak berkuasa menyoal siasat jiran didapati mereka tidak tahu menahu jiran mereka mengandung dan membuang bayi. Ini suatu situasi yang cukup menyedihkan kerana masih ramai
yang tidak dapat membudayakan konsep hidup bermasyarakat. Ringkasnya semangat Keluarga Malaysia perlu diperkasakan supaya kita dapat melahirkan komuniti yang prihatin, bertanggungjawab dan saling bantu membantu.

Cukuplah kes buang bayi yang telah berlaku dan mari kita letak titik noktah untuk wabak sosial ini. Masalah pembuangan bayi ini bukan lagi isu terpencil atau sampingan yang boleh diabaikan begitu saja. Ianya membabitkan masa depan generasi pewaris negara kita, maka jangan biarkan masalah ini terus membelenggu masyarakat dan negara kita.

Pentadbir universiti dan penganalisis isu-isu semasa

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast