Howard Lee Chuan How

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu didakwa bertindak melaga-lagakan hubungan baik antara ahli-ahli Exco setiap kali isu berbangkit tidak mencapai konsensus antara keempat-empat parti.

Keadaan itu bukan sahaja berlaku antara parti yang berbeza, malah ada ketika ia daripada parti yang sama.

Bagaimanapun, Ketua Pemuda Pakatan Harapan Malaysia, Howard Lee mengakui ketegangan yang berlaku antara DAP dan PAN tidak sampai bergaduh.

”Sekurang-kurangnya- sekiranya ada pun, pergaduhan antara Amanah dan DAP tidak sehingga seperti antara PAS, UMNO dan PPBM di Perak, sehingga Menteri Besar PPBM diguling oleh rakan dari UMNO,” katanya.

Beliau mengulas mengenai dakwaan Ahmad Faizal bahawa beliau terpaksa menguruskan pergaduhan antara DAP dan PAN setiap hari sewaktu memimpin pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan Negeri Perak.

Oleh itu, pesan Lee kepada Ahmad Faizal, kalau hendak berbohong, jangan sampai meludah langit sehingga muka sendiri yang kena; jangan seronok sangat menggali kubur orang, nanti sendiri pula yang jatuh ke dalam.

Dedah beliau lagi, sebagai contoh berkenaan cadangan pembinaan suatu kilang pemprosesan non-radioactive rare earth elements (NR-REE) di Perak dan kilang pemprosesan minyak dan gas, wakil PKR, DAP dan PAN telah ada yang menyuarakan kekhuatiran mereka berkaitan alam sekitar yang pasti akan terjejas.

Tetapi di luar mesyuarat pula, Ahmad Faizal sendiri membisikkan kepada ahli Exco yang menolak cadangan tersebut, kononnya, ada di antara ahli Exco dari parti rakan dan parti sendiri telah bersetuju.

”Akhirnya kami dapat tahu kesemua itu adalah tidak benar dan hanya kisah dongeng ciptaan mantan YAB MB sendiri,” ujar beliau lagi.

Lee yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Perak, Pasir Pinji mendakwa banyak lagi contoh kejadian tipu-menipu seperti ini namun enggan membuka aib bekas menteri besar itu.

Berkenaan pemilihan syarikat Puncak Emas Infra Sdn Bhd (PEISB) untuk mengambil alih bidang kerj pembersihan awam dan penyelenggaraan infra-awam pula, beliau mengaku menjadi saksi kehebatan mantan Ahmad Faizal memutar belit dan membohong.

”Saya tidak boleh menyatakan pendirian ahli Exco yang lain kerana ia bukan hak saya, tetapi saya antara yang paling lantang menentang cadangan itu, tetapi akhirnya telatah-telatah beliau termasuk penukaran nama daripada Bujang Selenggara ke PEISB dan juga taktik pecah-belah dengan membeli hati orang yang akhirnya bersekongkol dengan beliau dengan mengkhianati PH sewaktu Langkah Sheraton.

“Sesuatu pergaduhan yang membawa keputusan kebanyakan secara berjemaah lazimnya dipanggil debat, yang jelas tidak begitu difahami oleh itu adalah fitrah demokrasi. Pergaduhan kerana hendak melakukan dan mencapai yang terbaik, itu adalah lumrah politik.

”Selama ketiga-tiga parti PAN, DAP dan PKR ini bersama, memang tidak pernah menafikan masing-masing agak kerap membawa pendapat dan pendirian yang berbeza. Namun akhirnya kita tetap mendakap semangat meski pendapat yang berbeza, tetapi akhirnya kami pertahankan keputusan yang dibuat bersama, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing,” ujar beliau.

Sebaliknya, dakwa beliau, Ahmad Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan pula yang sentiasa mahu menampilkan persona yang sempoi dan bersahaja, sebenarnya berlidah cabang dan bermuka-muka.