Calon PH N.28 Sungai Rambai, Farzana Hayani Mohd Nasir (kiri) bermesra dengan penduduk setempat ketika hadir makan tengahari di Warung Pak Ali, Sungai Rambai, Melaka. Foto FAREEZ FADZIL, 11 NOVEMBER 2021.

MELAKA – Sikap prihatin yang tinggi terhadap masyarakat membuatkan calon N.28 DUN Sungai Rambai, Farzana Hayani Mohd Nasir daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) terpilih sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kali ini.

Calon termuda daripada 112 calon itu berkata, sikapnya yang suka membantu masyarakat telah lama disedari rakan-rakannya.

“Mereka dah nampak saya dari dulu memang suka membantu masyarakat,” katanya berucap dalam siaran langsung forum perdana TamuAnwar di Facebook Anwar Ibrahim, pagi ini.

Hadir sama dalam siaran langsung itu adalah tiga calon muda Pakatan Harapan dalam PRN Melaka iaitu Prasanth Kumar (DUN Rim), Mohamad Asri Ibrahim (DUN Lendu) dan Muhamad Danish Zainudin (DUN Pengkalan Batu).

Farzana Hayani berkata, hasil didikan ayahnya yang juga merupakan Naib Ketua PKR Cabang Tangga Batu membuatkan dirinya mudah bergaul dengan masyarakat.

“Saya dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga berpolitik, jadi sejak sekolah menengah lagi saya sudah bergiat aktif dalam berpolitik.

“Selepas saya habis sekolah, saya tolong ayah saya di kedai makan. Dari situ saya tahu cara bergaul dengan masyarakat,” katanya lagi.

Farzana akan berdepan saingan empat penjuru dengan beberapa muka lama di DUN Sungai Rambai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast