Penganjur dikenakan kompaun oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan kegagalan mengawal penjarakan fizikal pengunjung yang hadir pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Medan Selera Selandar, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 14 NOVEMBER 2021.

JASIN – Ternyata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak memilih bulu dalam pematuhan prosedur operasi standard Covid-19 apabila penganjur lawatan yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini hari ini turut dikenakan kompaun.

Kompaun berjumlah RM20,000 itu dikeluarkan oleh Pegawai Kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah Jasin terhadap Ketua Pusat Daerah Mengundi DUN BN Asahan.

Ketika diminta mengulas, pegawai kesihatan berkenaan yang enggan dikenali berkata, penganjur terbabit dikompaun ekoran kegagalan mengawal penjarakan fizikal pengunjung yang hadir.

Kompaun tersebut dikeluarkan sejurus perdana menteri meninggalkan Medan Selera Selandar dekat sini.

“Kompaun dikeluarkan sebab tiada penjarakan fizikal. Saman dikeluarkan terhadap Ketua PDM di sini,” katanya.

Sementara itu, penganjur lawatan itu enggan mengulas mengenai kompaun yang diterima pihaknya.

Katanya, dia bimbang akan menerima kompaun yang lain  sekiranya membuat kenyataan kepada media.

“Takpalah nanti saya kena lagi,” katanya ringkas.

Terdahulu, Perdana Menteri dan beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) singgah di Medan Selera Selandar di sini untuk makan tengahari dan beramah mesra dengan pengundi-pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.

Antara yang hadir adalah, Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, calon BN DUN Machap Jaya, Ngwe Hee Sem dan calon DUN Asahan, Fairul Nizam Roslan.

Kesemua mereka berada di lokasi tersebut kerana DUN Asahan merupakan anak angkat BN Pahang sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ismail Sabri meluangkan masa kira-kira 45 minit sebelum beredar ke lokasi seterusnya di DUN Rim. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast