Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Pahang, Dzulfadli Johan (kiri) pada Majlis Pelancaran SMART Card Peladang Peringkat Negeri Pahang di Pertubuhan Peladang Kawasan Bera, Pahang hari ini.

BERA – Seramai 100,000 ahli dari 22 Pertubuhan Peladang kawasan di Pahang bakal memanfaatkan penggunaan kad pintar Peladang (Peladang-i) bermula hari ini.

Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Pahang, Dzulfadli Johan berkata, penggunaan kad pintar berkenaan merupakan inisiatif Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi menjaga kebajikan ahli-ahli Peladang.

Sesi demonstrasi cara penggunaan kad Peladang-i kepada ahli peladang di Bera, Pahan hari ini.

“Menerusi kad tersebut, ia menggabungkan pelbagai fungsi termasuk sebagai debit kad dalam aktiviti simpanan dan kredit, subsidi dan takaful.

“Contoh, bantuan banjir serta bantuan penanam padi di Pekan dan Rompin misalnya akan dimasukkan terus ke dalam akaun lebih mudah bagi  memastikan ahli mendapat bantuan segera.

“Penukaran kad Peladang dengan kerjasama Agro Bank secara percuma kepada ahli kepada kad debit dengan visa beserta identiti logo Peladang pada  kad,” katanya.

Beliau berkata demikian Pelancaran SMART Card Peladang Peringkat Negeri Pahang di Pertubuhan Peladang Kawasan Bera, hari ini.

Dalam pada itu, sebanyak RM5 juta diperuntukkan kepada 920,678 ahli di seluruh Malaysia bagi menikmati manfaat perlindungan takaful menerusi Peladang-i.

Menerusi skim takaful itu, peserta menerima maafaat khairat kematian sebanyak RM5,000 kepada waris, manfaat kecacatan akbat kemalangan RM5,000, rawatan perubatan RM250 dan lain-lain.

Terdahulu MAFI telah melancarkan Smart Card Keluarga Peladang (LPP) pada 10 November 2021. – MalaysiaGazette