chicken prices
Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Peniaga dan pengedar ayam di Pulau Pinang mendakwa kenaikan harga bahan mentah itu berlaku akibat di pasarannya di monopoli pengilang.

Selain itu, mereka turut mendakwa penternak memberi alasan kenaikan harga dedak serta ayam mudah mati antara faktor lain kenaikan harga ayam ketika ini.

Pengedar ayam Pulau Pinang, Muhammad Shaffi Yacob berkata, mereka terpaksa akur dengan harga yang diberikan pengilang memandangkan pasaran ayam kini dimonopoli secara besar-besaran oleh mereka.

Muhammad Shaffi.

Jelasnya, mereka terdesak untuk mengambil ayam memandangkan tiada pilihan untuk mendapatkan bekalan itu selain pengilang susulan penyembelihan tidak dibenarkan di pasar awam di sini.

“Semua pihak kena faham kenaikan harga bukan datang daripada kami (pengedar) mahupun peniaga. Kami semua hanya orang tengah yang mendapat bahan daripada pengilang.

“Bila mereka guna kuasa letakkan harga sesuka hati kami kena ikut sebab itu harga jualan ayam meningkat.

“Kadar kenaikan kini 40 peratus iaitu RM8.40 sekilo jadi macam mana peniaga nak jual murah?,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Muhammad Shaffi, dia kini terpaksa menanggung kerugian besar memandangkan pengedarannya di kilang serta kedai makan mengikut kadar tender.

“Saya dapat tender untuk edar ayam di kilang serta kedai makan jadi bila harga ayam naik saya tak boleh tekan mereka kerana ia langgar harga yang ditetapkan dalam tender sebelum ini dan ia sekali gus menyebabkan saya terpaksa menanggung kerugian ratus ribu ringgit,” jelasnya.

Sementara itu, peniaga ayam di Pasar Awam Pulau Tikus, Abdul Rahim Abdul Rahman berkata, ini merupakan kali pertama harga ayam naik setinggi ini.

Jelasnya, harga ayam naik mendadak selepas harga kawalan untuk Deepavali berakhir pada 7 November lalu.

“Rata-rata penternak beri alasan dedak naik harga, ayam mati atau bekalan tidak cukup menyebabkan harga naik tetapi pembeli tidak faham situasi itu mereka hanya marah kami kononya sengaja naikkan harga ayam di pasar

“Lebih 10 tahun saya berniaga ayam ini merupakan kali pertama harga naik mendadak sebegini.

“Saya sendiri sudah maklum kepada pihak penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang membuat pemantauan di pasar namun masih tiada jalan penyelesaian,” katanya. – MalaysiaGazette