MELAKA – Parti Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) turut membantu calon-calon Barisan Nasional (BN) dalam meraih sokongan pengundi India Muslim pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Presidennya, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader memberitahu, jentera parti sudah mula berkempen cara norma baharu.
Kata beliau, sejak dulu lagi komuniti India Muslim yang rata-rata terlibat dalam dunia perniagaan menyokong kerajaan BN kerana menjanjikan kestabilan politik.
Bagaimanapun kata, beliau sejak pertukaran kerajaan pada 2018, keadaan semakin ‘caca marba’ sehingga memberi implikasi buruk kepada ekonomi rakyat dan negara.
“Lihat sekarang, siapa sebenarnya kerajaan yang menjaga kebajikan rakyat jika bukan BN? Yang penting negara ini aman dan stabil bukan sekejap-sekejap tukar kerajaan, kemaruk kuasa dan lompat-lompat sejak tiga tahun ini.
“Kami mahukan kestabilan supaya dapat berniaga dengan aman dan bukan seperti sekarang ini. Dalam 60 tahun lebih memerintah, semua tenang ini dalam tempoh tiga tahun berapa kali tukar kerajaan. Cukuplah, rakyat muak,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Syed Ibrahim berkata, pihaknya mendekati pengundi dengan norma baharu sambil memberi pencerahan berkaitan keadaan politik melanda negara. – MalaysiaGazette