Seorang warga emas berusia 56 tahun di daerah Petaling disahkan dijangkiti kolera pada 21 Oktober lalu.

KUALA LUMPUR – Seorang warga emas berusia 56 tahun di daerah Petaling disahkan dijangkiti kolera pada 21 Oktober lalu.

Kata Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman, hasil siasatan mendapati wanita berkenaan mengalami cirit birit teruk.

Bagaimanapun pesakit telah mendapatkan rawatan pada hari yang sama dan telah sihat sepenuhnya setelah mendapatkan rawatan.

“Kes telah dirawat sebagai pesakit luar dan diambil sampel najis untuk dijalankan ujian. Keputusan ujian daripada Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan menunjukkan kehadiran bakteria Vibrio Cholerae, Serogroup 01, serotype Ogawa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Susulan daripada itu, menurut Sha’ari, semua kontak rapat wanita berkenaan disaring termasuk pengendali makanan yang terlibat.

Jelas beliau sehingga kini tidak ada tambahan kes positif Kolera dikesan.

“Pengambilan sampel persekitaran juga telah dijalankan,” tambahnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam masa yang sama, Sha’ari berkata,  siasatan lanjut secara menyeluruh oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor tidak dapat mengenal pasti punca jangkitan.

Justeru, JKNS katanya ingin mengingatkan kolera berupaya merebak dengan cepat dan boleh membawa maut sekiranya tidak dirawat segera.

Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menerusi ciapannya di Twitter mengesahkan kes taun atau kolera dikesan di daerah Petaling, Selangor.-MalaysiaGazette