Pejabat Tun Abdullah Ahmad Badawi memandang serius penularan berita palsu bekas Perdana Menteri itu telah meninggal dunia.- Gambar FB Galeri Tun Abdullah Badawi.

KUALA LUMPUR – Pejabat Tun Abdullah Ahmad Badawi memandang serius penularan berita palsu bekas Perdana Menteri itu telah meninggal dunia.

Pihaknya dalam satu kenyataan menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menyebarkan berita palsu.

“Pejabat Tun Abdullah Ahmad Badawi telah menerima satu lagi berita tular melalui hantaran Facebook pemilik nama *Mohd Hasni Izuwan* dan *Saifulzaman Mahmood* berhubung kesihatan Tun Abdullah.

“Pejabat menafikan sekeras-kerasnya berita tersebut. Untuk makluman semua pihak, Tun berada dalam keadaan sihat walafiat di samping keluarga beliau,” kata kenyataan yang sama.

Justeri pihak pengurusan berharap masyarakat dapat memastikan dahulu kesahihan dari pihak yang berautoriti sebelum menyebarkan apa-apa berita bagi mengelak kekeliruan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican juga menafikan penularan berita Tun Abdullah meninggal dunia.

“Saya ada terbaca sebaran berita yang mengatakan Tun Abdullah Badawi telah meninggal dunia. Saya nafikan berita ini.

“Alhamdulillah Ayahanda Tun Abdullah dalam keadaan sihat walafiat. Begitu juga dengan Tun Jeanne. Saya pun baru berbual di telefon dengan Tun Jeanne,” katanya dalam hantaran media sosialnya hari ini.

Justeru Reezal Merican mahu orang ramai sama-sama mendoakan kesihatan Tun Abdullah dan isterinya.

Difahamkan, Tun Abdullah bersama keluarga kini bercuti dalam negara.- MalaysiaGazette