KUALA LUMPUR – Selepas lebih sebulan menyepi, penyanyi rap kontroversi, Caprice telah bernikah secara senyap-senyap dengan wanita pilihan hatinya, Farra Inalis, 26, yang juga ibu tunggal beranak satu.
Menerusi Instagram miliknya, Caprice atau Ariz Ramli, 33, mengakui selamat mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihannya.
Menurutnya, bukanlah niatnya mahu berkahwin secara rahsia.
Sebaliknya jelas Caprice, dirinya tidak boleh menggunakan namanya dan Instagramnya buat masa ini.
“Saya mohon maaf kepada semua pihak kerana terpaksa ‘menghilangkan diri’ selama 40 hari. Selepas apa yang berlaku, saya berjanji akan menceritakan segala perkara yang terjadi sepanjang tempoh berkenaan.
“Sila ikuti akaun @signbycap kerana semua entri akan saya muat naik di situ kerana saya disekat daripada menggunakan akaun @capriceofficial.
“Saya terpaksa aktifkan semula akaun ini selepas ramai pihak cuba menghubungi saya,” tulisnya.
Jelas Caprice, dia dan isteri tidak berniat merahsiakan perkahwinan mereka sebaliknya segala persiapan hanya dilakukan pada saat akhir.
“Saya perlu membuka hantaran kepada umum kerana ramai blogger dan wartawan cuba menghubungi saya sejak dari tadi (semalam).
“Minta maaf untuk semua kesulitan yang timbul. Insya-Allah saya akan kongsi cerita di @signbycap nanti,” katanya.
Sementara itu, Lokasi pernikahan yang berlangsung kira-kira pukul 5 petang semalam menunjukkan majlis tersebut diadakan di Tanamekar The Hills, Petaling Jaya, Selangor.
Menerusi akaun sama, penyanyi yang aktif sebagai penceramah motivasi itu tidak ketinggalan berkongsi video ketika memilih cincin semalam iaitu sehari sebelum pernikahan.
Terdahulu, gambar Caprice mengenakan baju Melayu rona putih lengkap bersongkok dan samping sedondon dengan pasangannya yang anggun berkerudung di atas pelamin tersebar di laman sosial.
Sebelum ini, Caprice pernah beberapa kali mengkritik rakyat Kelantan dan siapa sangka jodohnya berasal dari negeri itu.- MalaysiaGazette