KUALA LUMPUR – Penyanyi muda, Haqiem Rusli bakal berkahwin dengan gadis pilihan hatinya pada Jumaat ini selepas mengumumkan berita gembira itu di Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 pada Sabtu lalu.
Sejak pengumuman itu, peminat mula mencari siapa bakal isteri Haqiem yang berusia 23 tahun itu.
Kegigihan netizen itu berjaya apabila gadis bertuah itu bernama Wan Anis Sofea Wan Zamzuri atau mesra dikenali sebagai Anis Sofea yang berusia 19 tahun dan berasal dari Kelantan.
Anis juga merupakan pengasas dan rakan kongsi perniagaan restoran Santhai Village bersama penyanyi lagu Tergantung Sepi itu.
Pasangan itu dikatakan mengenali antara satu sama lain sejak hampir dua tahun lalu dan mula tampil berhijab baru-baru ini sekali gus bertindak memadam foto dan videonya yang lama.
Malah sebelum ini, Anis pernah tular di laman Twitter apabila wajahnya dikatakan mirip pelakon Hanis Zalikha.
Dia kini memiliki 52,000 pengikut di laman Instagram.
Sempena menyambut hari bahagia nanti, Haqiem atau nama penuhnya Ridzuan Haqiem Rusli menghadiahkan sebuah lagu istimewa untuk bakal isterinya yang berjudul Hitam Saksi Putih.
Semalam, penyanyi rap kontroversi, Caprice telah selamat bernikah dengan wanita yang juga berasal dari Kelantan. – MalaysiaGazette