GEOGRE TOWN – “Bukan sahaja pengguna, kami juga tertekan dan terhimpit apabila harga ayam semakin meningkat seperti sekarang.”
Itu luahan peniaga ayam Pasar Awam Bayan Baru ketika ditemui di sini hari ini.
Jelas Mohd Fauzi Haris, 53, selepas perayaan Deepavali harga ayam mentah meningkat kira-kira 60 sen.
“Setiap hari harga ayam naik 10 sen kami sebagai peniaga sudah buntu memikirkan bagaimana mahu memberi penjelasan kepada pembeli memandangkan kami merupakan individu yang berurusan langsung dengan mereka (pembeli).
“Selain itu, kami juga tidak dibenarkan menjual harga lebih RM9.50 oleh pihak penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) walaupun kini bukan musim harga kawalan.
“Cuba bayangkan kami dapat daripada penternak harga ayam sudah melambung tinggi kemudian pihak KPDNHEP negeri pula buat pemantauan agar kami kekalkan harga RM9.50 lama-lama peniaga seperti kami yang terbeban,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.
Mengulas mengenai harga ayam lebih murah di pasar raya, Mohd Fauzi berkata, premis berkenaan hanya menggunakan isu jualan ayam murah untuk menarik pelanggan sahaja.
“Mereka (pemilik pasar raya) ambil dalam kuantiti banyak berbanding kami peniaga pasar dan sebagai strategi perniagaan mereka menarik pelanggan dengan menawarkan harga ayam murah berbanding harga di pasar awam.
“Selain itu, pengguna juga perlu tahu ayam yang dijual di pasar awam adalah ayam segar bukan di sejuk beku,” ujarnya yang sudah berniaga hampir 21 tahun di pasar awam tersebut.
Sementara itu, seorang lagi peniaga ayam, Eddy Haryani Abdul Hamid, 36, berkata, pihak berkuasa sepatutnya mencari jalan penyelesaian di peringkat penternak berbanding mengarahkan peniaga untuk tidak menaikan harga bahan mentah itu.
“Setiap kali harga barang ayam naik kami (peniaga) yang dipersalahkan sedang ia bukan berpunca daripada kami. Pihak berkuasa minta pelbagai dokumen untuk rujukan mereka sekiranya kami naikan harga mengapa ia tidak dilakukan di peringkat penternak, peladang?
“Kami peniaga terpaksa tanggung rugi apabila keuntungan kian kurang manakala kos modal naik selain perlu membayar gaji pekerja,” katanya.
Mengulas pendapat yang sama, peniaga ayam di Pasar Awam Pulau Tikus, Abdul Rahim Abdul Rahman berkata, ia merupakan kali pertama harga ayam naik setinggi ini.
Jelasnya, harga ayam naik mendadak selepas harga kawalan untuk Deepavali berakhir pada 7 November lalu.
“Rata-rata penternak beri alasan dedak naik harga, ayam mati atau bekalan tidak cukup menyebabkan harga naik tetapi pembeli tidak faham situasi itu mereka hanya marah kami kononya sengaja naikkan harga ayam di pasar.
“Lebih 10 tahun saya berniaga ayam ini merupakan kali pertama harga naik mendadak sebegini.
“Saya sendiri sudah maklum kepada pihak penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang membuat pemantauan di pasar namun masih tiada jalan penyelesaian,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: