KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein merakamkan ucapan takziah kepada keluarga anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terkorban dalam kejadian pesawat jenis HAWK milik TUDM terhempas di Butterworth jam 10.07 malam tadi.
Dalam hantaran di laman Facebook, Hishammuddin berkata, beliau baru menerima panggilan dari Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia Jen Tan Sri Ackbal Abdul Samad memaklumkan insiden pesawat Hawk 108 terhempas.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Seorang terbunuh, seorang cedera pesawat TUDM terhempas di Butterworth
- Pesawat terhempas di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterworth – TUDM
Katanya, seorang anggota TUDM kehilangan nyawa manakala seorang lagi cedera.
“TUDM telah diarahkan segera berikan laporan lebih terperinci dan siasat punca kejadian.
“Takziah kepada keluarga anggota TUDM yang meninggal dan seorang lagi yang cedera. Amat sedih dan dukacita terima berita ini,” katanya.
Menurut Hishammuddin, beliau difahamkan anggota yg cedera telah dibawa ke hospital untuk rawatan segera.
Kementerian Pertahanan Malaysia, katanya, telah diarah untuk menyalurkan apa jua keperluan kepada keluarga kedua-dua anggota terlibat. – MalaysiaGazette